Sekarang,
dengar khabarnya jutawan Malaysia,
Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary membeli syarikat Gardenia & Proton. Ramai
yang menyokong di atas kemampuannya, tetapi ramai juga yang dengki & busuk
hati.
Saya
menyokong usahanya. Ada
3 sebab utama. [1] Dia sebangsa & seagama dengan saya, [2] dia pernah hidup
miskin seperti saya. Orang miskin biasanya tidak mudah lupa diri, [3] dia
terbukti murah hati (dermawan) melalui banyak jasa-jasanya yang terbukti kepada
kita.
Mari
kita dengar lontaran suara hatinya supaya kita bertambah kenal siapa dia
sebenarnya. Jangan tengok kepada duit & kekayaannya, tetapi tengoklah
kepada hati budinya.
1.
Ada sebab
kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja
kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan warisan untuk
anak bangsa yang kekal berpanjangan.
2.
(berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping
dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui
kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik
semata-mata.
3.
Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara
semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang
membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja asalkan mereka
berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada jalan singkat.
4.
Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya akan
minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah
jalan yang kekal.
5.
Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih
maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan
tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga
kepentingan kita.
6.
Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu
memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7.
Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8.
Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9.
Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi
dan saya juga biasa kena tipu.
10.
Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo,
New York dan London. Saya pun suka pakai baju elok. Tapi
kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur
dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana?
11.
Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada masa di
bawah.
12.
Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana
yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang
lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat
Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih
kuat daripada yang lain.
13.
Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita
tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu bekerjasama
kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha, apabila orang
lain berusaha, mereka marah.
14.
Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun
begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana
sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit
yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15.
Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan
balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau
mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak
buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita
masih tidak buat apa-apa !
16.
Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan
individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya
tidak mustahak.
17.
Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya
beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau
hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang
tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu
berusaha.
18.
Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar,
minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha
sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena
berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah
kita menolong orang.
19.
Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan
perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya
untuk sementara sahaja.
20.
Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit
ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukakan
akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya
lakukan sekarang.
21.
Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat
bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini
untuk diri saya semata-mata.
22.
Ada juga yang
saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi
masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai
kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu. Di
kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di bandar berpecah kerana ini
(wang).
23.
Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi
untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini
gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24.
Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan
baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada menolong
orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan
tidak boleh membantu selama-lamanya.
25.
Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak
berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya semula. Ada cara boleh kita buat.
Tapi
sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya
balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang mahu senang tapi tidak ramai yang
mahu bertanggungjawab.
26.
(perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok
bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus
dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan
seluar biarlah padan dengan badan.
27.
Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam
bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa
lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang
sedikit itu ada berkatnya.
28.
Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh berkongsi
sama.
29.
Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya
lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka
hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul
kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.
30.
……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya manusia yang
banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan lagi. Sejak
awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.
31.
Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit
pun tidak mengapa.
32.
Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya
percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang
akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33.
Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk
faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34.
Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat kuatkan
semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu tempat
untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas
seharian.
35.
Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak
boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang
fleksibel, boleh naik dan turun.
36.
Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang
saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup
untuk bawa saya ke mana-mana.
37.
Tiada sebab orang kenapa Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan
sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju. Kalau saudara jadi wartawan saudara kena
tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab
kenapa ia tidak boleh berlaku.
38.
Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama
kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan tidak
mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang wujud
dalam cara orang Melayu berfikir.
39.
Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada
saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang
lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40.
Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan
psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena
kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai
kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41.
Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras dan
fokus.
42.
Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana
pun kejayaan dicapai.
43.
Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan
orang tua saya sendiri.
44.
Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah. Saya tak
mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau hutang
habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45.
Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa
saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah
gelas pun saya bersyukur.
46.
Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka
menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak.
Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47.
Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau
saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli
sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48.
Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan) apa yang
saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya,
apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri
kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49.
Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada
kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi. Saya rasa kita
terlalu banyak ketinggalan.
No comments:
Post a Comment