BUNGA NAN INDAH

Thursday, 4 October 2012

HAKIKAT IKHLAS DALAM KEHIDUPAN..tidak mencari kemasyhuran [1]




















Adakah anda dapat mengetahui bahawa anda mempunyai sifat ikhlas atau tidak? Keikhlasan itu adalah suatu sifat yang tersirat, yang tersembunyi jauh di dalam lubuk hati anda

 
Walau bagaimanapun, ia mempunyai bukti penguat dan tanda-tanda yang banyak sekali. Dalam kehidupan sang mukhlis (orang yang ikhlas dipanggil mukhlis), dia sangat takut kepada kemasyhuran

Mereka takut kepada kemasyhuran dan menyebarnya kemasyhuran ke atas dirinya, lebih-lebih lagi jika dia termasuk orang yang mempunyai pangkat tertentu.


Dia perlu yakin bahawa penerimaan amal di sisi Allah hanyalah dengan cara sembunyi-sembunyi, tidak secara terang-terangan dan didedahkan. Sebab andaikata kemasyhuran seseorang memenuhi seluruh angkasa, lalu ada niat tidak baik yang masuk ke dalam dirinya, maka sedikit pun manusia tidak memerlukan kemasyhuran itu di sisi Allah.

















Pada zaman moden ini, ramai orang ingin mempopularkan diri mereka supaya mereka mendapat layanan sepatutnya.

Seorang pegawai tentu marah jika orang kampong terlupa memanggilnya “tuan”. Seorang ustaz tentu terkilan jika orang tidak mengenalnya sebagai “ustaz”.Seorang pengarah tentu amat marah jika layanan terhadapnya tidak seperti “ seorang pengarah”.


Maka dari itu, zuhud dalam masalah kedudukan, kemasyhuran, penampilan dan hal-hal yang serba gemerlapan lebih besar daripada zuhud dalam masalah harta, syahwat perut dan kemaluan.



Al-Imam Ibn Syihab az-Zuhri berkata: “Kami tidak melihat zuhud dalam hal tertentu yang lebih sedikit daripada zuhud dalam kedudukan. Engkau melihat seseorang berzuhud dalam masalah makanan, minuman dan harta. Namun jika kami membahagi-bahagikan kedudukan, tentu mereka akan berebut dan meminta lebih banyak lagi.”

Inilah yang membuat para ulama salaf dan orang-orang shaleh antara mereka mengkhuatirkan dan menyangsikan hatinya dari ujian kemasyhuran, penipuan dan kedudukan.

Oleh kerana itu, mereka memperingatkan hal ini kepada murid-muridnya. Para pengarang buku telah meriwayatkan dalam pelbagai gambaran tentang tingkah laku ini, seperti Abu Qasim a-Qusyairi dalam ar-Risalah, Abu Thalib al-Makky dalam Qutul-Qulub, dan al-Ghazali di dalam al-Ihya’.

Begitu pula yang dikatakan seorang zuhud yang terkenal, Ibrahim bin Adham, “Allah tidak membenarkan orang yang suka kemasyhuran.”
Beliau juga berkata, “Tidak sehari pun aku berasa gembira di dunia kecuali hanya sekali. Pada suatu malam aku berada di dalam masjid di salah satu desa di Syam, dan ketika itu aku sedang sakit perut. Lalu muazzin datang dan menyeret kakiku hingga keluar dari masjid.”

Beliau berasa senang kerana muazzin tersebut tidak mengenalinya. Maka dari itu, beliau diperlakukan secara kasar, kakinya diseret seperti seorang pesakit. Beliau meninggalkan kedudukan dan kekayaannya kerana Allah. Sebenarnya ketika itu beliau tidak ingin keluar jika tidak sakit.

Dari paparan kisah di atas, pengalaman wali itu sangat jauh berbeza dengan kita. Bayangkan kalau situasi-situasi berikut ini berlaku kepada anda.

[1] Anda seorang pegawai kerajaan. Dalam urusan di sebuah bank, tiba-tiba ada seseorang yang potong Q anda. Apa reaksi anda?

[2] Anda seorang pesara kerajaan yang dahulunya berpangkat pengarah. Di sebuah kedai kopi, tak ada sesiapa pun yang sudi bercakap dengan anda. Apa perasaan anda?

[3] Anda mempunyai pangkat & gelaran kehormat yang sangat besar. Tetapi urusan pinjaman bank anda tidak diluluskan seperti yang anda jangkakan.  Bagaimana perasaan anda?   

Seorang zuhud yang terkenal, Bisyr al-Hafy berkata, “Saya tidak mengenal orang yang suka kemasyhuran melainkan agama menjadi sirna dan dia menjadi hina.”

Akan tetapi, jika dai (pendakwah) menjadi masyhur kerana tugas agamanya, maka itu dibolehkan. Dia bukan mencari nama tetapi kemasyhuran telah datang kepadanya.

Kalau di zaman kita ini, salah seorang mereka itu adalah Ustaz Azhar Idrus.

Selanjutnya, beliau juga berkata, “Tidak akan merasakan manisnya kehidupan akhirat orang yang suka terkenal di tengah manusia.”

Seseorang pernah menyertai perjalanan Ibn Muhairiz. Ketika hendak berpisah, orang itu berkata, “Berilah aku nasihat.”

Ibn Muhairiz berkata, “Jika boleh hendaklah engkau mengenal tetapi tidak dikenal, berjalanlah sendiri dan jangan mahu diikuti, bertanyalah dan jangan ditanya. Lakukanlah hal ini.”

Maksudnya, seseorang itu hendaklah menyembunyikan dirinya serapat-rapatnya. Jangan sampai dia membuka status pribadinya untuk memasyhurkan dirinya. Menghindari diri dari kemasyhuran adalah satu sifat yang terpuji.

Ayyub as-Sakhtiyani berkata, “Seseorang tidak berniat secara benar kerana Allah kecuali jika dia suka tidak merasakan kedudukannya.” Maksudnya begini, jika seseorang itu sangat menjaga kedudukannya, niatnya kadang-kadang tidak ikhlas.

 
Khalid bin Mi’dan adalah seorang ahli ibadah yang dipercayai. Jika semakin ramai orang-orang yang berkumpul di sekelilingnya, maka beliau pun beranjak pergi kerana takut dirinya menjadi terkenal.

Dalam kes zaman kita ini,  bila orang ramai sangat memerlukannya dan tidak ada orang lain yang berkesanggupan sepertinya, maka sewajarnya dia menjalankan dakwah kepada mereka dengan menjaga niatnya.
 
Salim bin Handzalah menceritakan, “Ketika kami berjalan secara beramai-ramai di belakang Ubay bin Ka’ab, tiba-tiba Umar melihatnya lalu melemparkan susu ke arahnya.”

Ubay bin Ka’ab lalu bertanya, “Wahai Amirul Mu’minin, apakah yang telah engkau lakukan?”

Jawab Umar, “Sesungguhnya kejadian ini merupakan kehinaan bagi yang mengikuti dan ujian bagi yang diikuti.”

Ini merupakan perhatian Umar bin Al-Khattab secara psikologi terhadap fenomena yang pada permulaannya boleh menimbulkan kesan dan pengaruh yang jauh terhadap kejiwaan orang-orang yang mengikuti dan sekaligus orang yang diikuti.

Apa yang dibuat oleh Umar bin Al-Khattab itu adalah suatu kaedah pendidikan supaya “sikap mencari kemasyhuran” itu tidak bermaharajalela. Baginda Amirul Mu’minin menyekat Ubay bin Kaab daripada tenggelam dalam kemasyhuran serta menyekat pulak orang-orang di belakangnya dari melakukan hal itu.

Bandingkan hal itu dengan masyarakat pada zaman kita ini. Manusia berlumba-lumba mencari pengaruh dan pengikut.  Mereka ingin dikenali dan dihormati. Bila tersingkap tabir perbuatan mereka, alangkah kotor pemandangan yang kita pandang.

Tuhan menghendaki keikhlasan, tetapi mereka pula mengejar kemasyhuran. 


Disiapkan pada Khamis 4.10.2012    9.35 pm.
Terima kasih kerana menyokong blog ini.

No comments:

Post a Comment