BUNGA NAN INDAH

Friday 7 December 2012

MEMBINA STRATEGI BARU ADDMATH 2013



Selamat bertemu kembali. Saya dah siapkan projek tanaman ubi kayu saya. Penat jugalah. Hampir 300 pokok kesemuanya. Kalau menjadi semua, insyaallah awal tahun dapat makan hasil.

Budak-budak zaman sekarang dah tak suka makan ubi kayu. Depa pun tak kenal sangat produk-produk dari ubi kayu seperti pengat UK, tapai UK, UK bakar, UK rebus, kerepek UK dan sebagainya.

Saya adalah peminat nombor satu ubi kayu  Ia penyumbang karbohidrat yang hebat. Barangkali ia juga penyebab kepada kemahiran saya dalam Addmath. Masa saya SPM dahulu, sambil-sambil buat drilling Addmath, saya bersulamkan UK rebus & air kopi panas. Sedap giler.

Tetapi saya paling suka pengat UK. Sampai sekarangpun, saya minat dia. Kalau taruh daun pandan sehelai dua di dalamnya, lagi best. Bau wangi daun pandan menyedapkan lagi pengat UK tersebut.

Mari kita membina strategi baru Addmath 2013. Kenapa kita mesti membinanya? Sebab kita dah nak melangkah ke tahun baru. Semalam saya mendengar ceramah Maal Hijrah di Masjid Besar, Machang. Penceramahnya memang hebat. Penerangannya tentang Maal Hijrah melonjakkan fikiran saya kepada sesuatu dalam Addmath.

Walaupun saya telah mendengar inti ceramahnya yang sama dari Ustaz Wan Zulkifli semasa program Ceramah Maal Hijrah 2 hari yang lepas di surau saya, tetapi ceramah semalam memberi beberapa input baru kepada saya.

Menurut penceramah, Hijrah Rasululullah S.A.W dari Mekah ke Madinah mempunya matlamat yang sangat agung. Ia bertujuan membina Daulah Islamiyah. Di Mekah, bayak tentangan berlaku sehingga ia tidak lagi sesuai sebagai pusat penyebaran Islam.

Kemudian Nabi cuba meninjau Habsyah. Habsyah juga tidak sesuai kerana banyak berlaku perang saudara di sana walaupun Najasyi (raja Habsyah) itu sangat baik.

Kemudian Nabi cuba meninjau Taif (di Selatan Mekah), tetapi Taif juga tidak sesuai. Baginda telah dilayan dengan buruk di sana. Orang-orang di sana tak sukakan baginda. Pemerintah tak suka, orang biasa pun tak suka. Yang tua tak suka, yang muda pun tak suka.

Tetapi baginda tidak berputus asa. Baginda berusaha, berusaha & berusaha. Pelajar-pelajar yang ambil Addmath pun tak boleh berputus asa. Berputus asa itu salah. Tolong ikut contoh Nabi S.A.W.

Meh kita sambung balik kisah hijrah tu. Kemudian baginda menyeru kabilah-kabilah yang mengerjakan haji di Mekah. Baginda meminta sokongan mereka untuk menyebarkan Islam & mendirikan Daulah Islamiyah di tempat mereka. Tetapi mereka semua menolak. Kabilah A tolak, B tolak, C tolak. Semuanya menolak permintaan Nabi.

Memang baginda sedih. Sedih sangat-sangat. Tetapi baginda tak berputus asa. Baginda menyeru lagi, berusaha lagi. Pelajar-pelajar Addmath pun kena begitu juga. Jangan putus asa. Usaha lagi. Usaha, usaha & usaha lagi.

Akhirnya, di satu musim haji, baginda bertemu dengan suku Aus & Khazraj yang datang dari Yathrib (nama asal Madinatul Munawarah). Bila Nabi menyeru mereka & meminta sokongan mereka, maka mereka mempelawa Nabi pergi ke tempat mereka untuk menyebarkan Islam. Maka berlakulah Perjanjian Baitul Aqabah Pertama.  

Di tahun berikutnya, lebih ramai lagi suku Aus & Khazraj yang datang menjumpai Nabi. Maka berlakulah Perjanjian Baitul Aqabah Kedua. Rupa-rupanya, di sebalik kesusahan & jerit lelah Nabi mencari sokongan, maka akhirnya Tuhan mempertemukan baginda dengan golongan Aus & Khazraj dari Yathrib yang akhir sekali terkenal dengan gelaran Ansar (pembantu).

Anda sebagai pelajar Addmath pun mesti mencontohi sikap & daya juang Nabi yang tidak berputus asa dalam usahanya. Sikap “mengenggam bara biar sampai jadi arang” adalah sikap berani yang mesti dicontohi. Jangan bertawakkal melulu kepada Tuhan. Belajar hanya 50%, tetapi bermimpi nak dapat A Addmath, itu tak tepat.

Seterusnya, mari kita sambung kembali kisah pasal hijrah Nabi. Anda tahu pasal apa suku Aus & Khazraj dapat menerima ajakan Nabi dengan mudah sekali?

Pasal kat Yathrib tu, terdapat intimidasi (penindasan) kaum Yahudi terhadap mereka. Perang saudara berlaku setiap masa. Bahkan ada waktunya, orang-orang Yahudi memperhambakan & memperalatkan suku Aus & Khazraj sesuka hati mereka. Peniaga-peniaga besar kat pasar Yathrib tu terdiri daripada bangsa Yahudi. Suku Aus & Khazraj itu hanya bangsa tertindas.

Bahkan orang Yahudi pula sering mengugut mereka (kaum Aus & Khazraj) bahawa Nabi Akhir Zaman akan datang dari kelompok mereka. Siaplah kamu, wahai Aus. Siaplah kamu, wahai Khazraj. Kami akan ajar kamu hidup-hidup.    

Tetapi Tuhan mempunyai planning lain. Nabi akhir Zaman datang dari bangsa Arab di Mekah. Maka, sebab itulah, suku Aus & Khazraj menerima ajakan Nabi untuk mendirikan Daulah Islamiyah di Yathrib. Supaya mereka dapat mengalahkan Yahudi, musuh mereka. Maka bertambah-tambah bencilah Yahudi kepada Rasulullah S.A.W. [1] Nabi akhir Zaman bukan dari kelompok mereka, dan. [2] kerana Rasulullah telah membantu musuh-musuh mereka iaitu Aus & Khazraj.

Dipendekkan cerita, sampai waktunya maka baginda pun melakukan penghijrahan dari Mekah ke Yathrib. Tetapi sebelum bertolak, baginda dah atur strategi. Inilah kehebatan & kebijaksanaan Rasulullah sebagai pemimpin besar. Baginda cermat mengatur tindakan.

Pelajar-pelajar Addmath pun kena atur strategi dalam belajar. Jangan belajar semborono sahaja. Ini tidak, strategi tak ada. Malas pulak tu. Kalau belajar cara macam tu, sampai bila-bila pun tak berjaya.

Apakah strategi-strategi Rasulullah? Mari kita lihat satu persatu.

[1] Membeli 2 ekor unta yang sihat & meminta Syaidina Abu Bakar memeliharanya di kawasan berpasir di tepi laut. TUJUANNYA, supaya unta itu terbiasa pada masa penghijrahan berlaku.

[2] Meminta Syaidina Abu Bakar menemaninya dalam penghijrahan. TUJUANNYA supaya baginda mempunyai teman untuk diajak berbincang & bertukar-tukar fikiran.

[3] Meminta Syaidina Ali tidur di tempatnya untuk mengelirukan musuh. TUJUANNYA, supaya musuh lengah atau terlewat mengejar baginda.

[4] Meminta Amir bin Furaihah membela kambing dengan jumlah yang banyak di kawasan pantai. TUJUANNYA, untuk menghilangkan kesan tapak kaki baginda & sahabatnya, Syaidina Abu Bakar.     

[5] Memilih Gua Tsur yang berada di selatan Mekah untuk bersembunyi sementara waktu. TUJUANNYA, supaya musuh-musuhnya gagal mengesan pergerakannya mengikut kaedah biasa.

[6] Mengarah Abdullah bin Abu Bakar (anak Syaidina Abu Bakar) sebagai perisik & melaporkan sebarang perkembangan terbaru kepada baginda.

[7] Mengarah Asma bt Abu Bakar (anak Syaidina Abu Bakar) untuk menghantar makanan kepada baginda & sahabatnya semasa dalam proses persembunyiaan.

[8] Meminta kerjasama Abdullah bin Uraiqib (seorang Yahudi) untuk menunjukkan jalan menuju ke Yathrib. Dalam soal ini, berkerjasama dengan bukan Islam untuk tujuan kebaikan adalah dibolehkan.

[9] Memilih laluan tepi pantai (laluan tidak popular) untuk sampai ke destinasi yang dituju. TUJUANNYA, supaya tidak terserempak dengan musuh  & selamat sampai. Konsep digunakan, biar lambat asal selamat.    

Sekiranya  strategi-strategi baginda di atas dapat disimpulkan, saya cenderung menjurus kepada 4 perkara berikut.

[a] Membuat persediaan awal.
[b] Mempunyai teman atau pembantu
[c] Merancang dengan teliti
[d] Menggunakan pelbagai cara, termasuk cara tak popular

Mari kita applikasikan empat strategi di atas untuk Addmath anda 2013 seperti berikut.

MEMBUAT PERSEDIAAN AWAL.
Anda dah dapat Buku Teks lebih awal. Bagi pelajar-pelajar T5, anda sudah boleh belajar tajuk Janjang. Baca dahulu buku Teks kat rumah. Mustahil anda tak faham sedikit pun. Bila dah baca, dah faham, buatlah latihan.  

Pelajar-pelajar T3 yang nak masuk T4 Sains tahun depan, eloklah beli Buku Rujukan Addmath awal-awal. Biar ada semangat sikit. Kemudian baca tajuk Fungsi sampai faham. Tajuk tu mudah jer. Cikgu tak ajar pun, anda boleh faham.

Strategi ini juga anda boleh applikasi sebelum P&P dalam kelas. Maksudnya, sebelum cikgu mengajar dalam kelas, anda dah baca tajuk atau subtajuk berkenaan. Kalau anda boleh amal kaedah ini, insyaallah anda akan jadi hebat Addmath.

MEMPUNYAI TEMAN ATAU PEMBANTU
Belajar Addmath tak boleh “lone ranger”. Anda mesti ada teman belajar. Atau lebih popular lagi, disebut study group. Memang kena ada. Kalau tak ada, susah sikit nak faham. Kalau tak faham, tentu masalah besar kan.

Bangsa Cina mempunyai study group yang agak konsisten. Ini budaya mereka. Main bersama, belajar bersama, bincang bersama & makan bersama. Masa berbincang hal pelajaran, mereka berdebat sakan. Kadang-kadang jadi bising. Tak apa. Banyak akal lebih baik daripada satu akal.

Kan Nabi Muhamad S.A.W dah menunjukkan kepada kita bahawa dalam peristiwa hijrah, banyak akal itu perlu dalam menjayakan sesuatu. Kalau baginda nak guna buraq untuk terbang dari Mekah ke Yathrib, Tuhan tentu makbulkan. Tetapi baginda memilih cara biasa untuk menjadi pedoman kita.   

Jadi banyakkanlah kaedah perbincangan, bengkel, study group, perkongsian pintar dan sebagainya. Ingat, jangan sesekali menggunakan kaedah “lone ranger” dalam Addmath. Bahaya. 

MERANCANG DENGAN TELITI
Semasa saya SPM dahulu, saya selalu buat senarai penting untuk keperluan Addmath saya. Kebiasaannya, saya mesti ada beberapa biji Buku Log, rough book, pakej alat tulis yang lengkap,  buku rujukan  dan sebagainya untuk keperluan drilling (latihtubi) saya. Memang saya belajar giler2 & buat latihan giler2.  Saya suruh ayah saya beli Buku Log yang besar & berkulit tebal, khusus untuk Addmath saya.

Habis semua latihan dalam Buku Teks saya buat. Begitu juga latihan Addmath dalam Buku rujukan saya. Semua saya sapu licin. Bila dah habis semuanya, saya suruh ayah saya beli Buku Log lagi. Kemudian saya ulangi lagi. Tak tersisa  satu pun latihan. Sebab itu, saya terkilan kalau tengok pelajar-pelajar sekarang malas belajar & malas buat latihan Addmath. Hang nak jadi apa? Hang nak noreh getah? Hang nak kandaq tahit? 

Pelajar-pelajar zaman sekarang suka guna fail. Ok juga cara tu. Mereka ada system latihan sendiri. Baguslah.

MENGGUNA PELBAGAI CARA
Saya sangat suka kalau pelajar-pelajar Addmath pergi belajar di pelbagai Pusat Tuisyen. Konsep saya, kalau ramai guru, lagi baik pengetahuannya. Itu tandanya dia sangat mencintai ilmu. Orang yang mencintai ilmu, biasanya akan berjaya.

Guru-guru yang lain tentu mempunyai teknik yang lain dalam P&P mereka. Sangat bagus kalau pelajar boleh menguasai pelbagai teknik selain yang saya ajar. Pelajar Addmath tak boleh statik Mereka mesti aggresif & bijak menguasai keadaan.

Kalau ada Kem Easy Math, pegilah ikuti kem tersebut. Berhabis duit RM100 untuk 2 hari, pun ok. Berbaloi ilmu yang anda dapat. Jangan kedekut tahi hidung masin. Pergilah menuntut ilmu, cari ilmu, korek ilmu. Habis duit pun tak apa.

Sekian kali ini. 7.12.2012     3.28 pm

No comments:

Post a Comment