BUNGA NAN INDAH

Wednesday, 30 May 2012

GAMBARAN ALAM BARZAH (1)



Harimau itu merenung tepat ke muka saya.  Matanya yang garang menjadikan saya takut & kecut. Mulutnya pulak ternganga menampakkan taring yang tajam meruncing untuk mengoyak tubuh saya. Kakinya pulak diangkat perlahan-lahan dengan kukunya yang tajam siap menerkam ke muka saya. Saya jadi bertambah takut & kecut. Matilah aku kali ini, demikian bisik hati saya akibat ketakutan yang bertimpa-timpa


Bunyi ngauman yang bertalu-talu dari sang belang itu menjadikan kepala lutut saya bergoyang entah beberapa kali. Sehingga pokok getah tempat saya bertahan diri itu pun turut bergoyang. Matilah aku kali ini. Ya Allah Ya  Tuhanku, ampunilah segala dosa-dosaku. Dosa kecil, dosa besar, dosa sengaja, dosa tak sengaja, dosa lama, dosa baru. Ya Allah, Kau ampunkanlah semuanya. Semuanya.

Pada saat saya terdengar seekor lalat melayah turun ke telinga saya, saya berpaling sekejap untuk menghalaunya. Maka ketika itulah, harimau tadi menerkam ke arah saya. Memang di tangan kiri saya sudah ada sebilah pisau kecil. Saya pun sudah bertekad untuk mempertahankan diri saya walau apa pun yang terjadi. Kalau saya ditakdirkan mati, saya redha untuk mati. Kalau saya masih diberi peluang untuk hidup, syukurlah. Alhamdulillah.



Tetapi harimau itu mempunyai kegagahan yang luar biasa. Pisau saya terpelanting entah kemana. Dia mencengkam muka saya dengan kaki kirinya sehingga tersembul mata kanan saya. Kaki kanannya pulak melekap ke dada saya & meninggalkan torehan luka sedalam 2 cm. Bersepai daging saya di bahagian dada. Aduh sakitnya.

Ketika saya sedang menundukkan diri untuk menyelamatkan sisa-sisa hidup saya, ketika itulah dia membenamkan taringnya yang tajam ke tengkok saya. Ya Allah Ya Rabbi, sakitnya. Dalam saya meraung-raung kesakitan itu, tiba-tiba saya tersedar.

Saya melihat keliling. Isteri saya sedang tidur lena di sebelah saya, tetapi harimau itu entah ke mana perginya. Demikianlah episod sebuah mimpi sebagai jawapan kepada masalah ramainya anak-anak Melayu yang murtad ketika ini


Pagi tadi, saya membuka blog resipirahsiaku & membaca post berkenaan ramainya anak-anak Melayu yang murtad (post itu saya share di fb saya).  Terpampang gambar seorang anak muda Melayu yang memakai loket  berlambangkan salib.  Mengelegak sebentar darah saya. Celaka betul. Kemudian cepat-cepat saya istigfar & memohon pertolongan tuhan. Nauzubillahi min zaalik. Minta berlindung kepada Allah Taala supaya tidak ada sesiapapun dari ahli keluarga saya, kaum kerabat saya, bekas pelajar saya & para pelajar saya masakini yang menjadi murtad seperti itu.

Jangan permain-mainkan akidah anda dengan menukar agama sesuka hati. Kalau mati masih di dalam agama Islam, anda masih ada peluang masuk shurga. Tetapi kalau dah murtad dan mati pulak di dalam keadaan murtad, maka mati seperti itu samalah seperti orang kafir. Kekal di dalam neraka dan tak tercium bau shurga..

Harimau di dalam mimpi saya itu adalah harimau khayali (HK). Saya di dalam mimpi itu adalah saya khayali (SK). HK tak sama seperti harimau realiti (HR) sebagaimana SK tak sama dengan saya realiti (SR). Secara umumnya, kita boleh bahagikan sesuatu kejadian itu kepada 2 jenis., [1] Kejadian realiti & [2] kejadian khayali.

Mereka yang murtad itu sudah tidak percaya lagi kepada agama islam. Mereka sudah disihirkan sehingga tertutup hijab pada hati mereka untuk menerima kebenaran.

Mereka anggap Islam agama jumud, beku, kolot, statik, kayu dan sebagainya. Mereka merasakan sangat terseksa / menderita kerana menganutnya. Maka penderitaan mereka itu kita gelar sebagai penderitaan khayali.

Mereka menganggap agama baru mereka sebagai agama yang moden, sporting, penuh tolerans, penuh simpatik & sebagainya. Kata mereka, mereka sangat gembira di dalamnya. Maka kegembiraan mereka itu digelar kegembiraan khayali.
 
Kalau kita sebut dosa kepada mereka, mereka tak rasa apa-apa. Kalau kita sebut azab kubur, mereka kata mana ada. Kalau kita sebut neraka, mereka hanya ketawa sahaja.

Hijab antara kita dengan alam barzah hanya nipis sahaja. Hanya 0.1 saat sahaja. Kata orang putih, just only ZERO POINT ONE  (0.1) second, you then will enter the world of barzah. Semua orang Islam wajib tahu. Si murtad pun kena tahu. Hanya orang gila sahaja yang tak patut tahu.. 

CONTOH 1. Anda menunggang motorsikal dengan laju. Kemudian tayar depan motorsikal anda terjunam ke dalam lubang. Anda terpelanting ke hadapan. Tengkok anda patah riok. Anda mati serta merta di tempat kejadian kerana medula oblongata, bahagian ketiga otak anda patah. SEKARANG, anda sudah mati. Anda sudah berpindah ke alam barzah.

CONTOH 2. Sedang anda berjalan-jalan di pinggir bandar, tiba-tiba beg tangan anda diragut oleh seorang lelaki peragut. Kawannya yang mengekori dari belakang menendang anda sehingga terjatuh ke tepi jalan. Kepala anda terhantuk dengan kuat pada batu. Darah mengalir tak berhenti-henti. Sampai sahaja ke pintu hospital, nafas anda pun terhenti. SEKARANG, anda sudah mati. Anda sudah berpindah ke alam barzah. .

CONTOH 3. Anda mempunyai penyakit jantung yang kronik. Semasa gotong-royong masjid, anda cuba membantu orang ramai dengan melakukan kerja-kerja berat. Tiba-tiba anda merasa dada anda senak. Jantung anda gagal berfungsi. Anda rebah  dan mati di situ. SEKARANG anda sudah mati. Anda sudah berpindah ke alam barzah..

CONTOH 4.  Anda dan keluarga bercadang melawat saudara yang sakit di Besut, Trengganu. Di pertengahan jalan, sebuah lori balak tiba-tiba sahaja menguasa jalan dengan memecut sesuka hati. Kereta anda dirempuh dengan kuat. Anda & seluruh keluarga anda mati di situ. Tak tersisa seorang pun. SEKARANG anda sudah mati. Anda sudah berpindah ke alam barzah.

CONTOH 5. Anda dan rakan-rakan sudah lama tidak bertemu. Bila cuti semeter, anda pun menghubungi rakan-rakan untuk keluar makan satay bersama di pekan berhampiran. Sesudah makan & bergembira sepuas-puasnya,  kereta yang dipandu kawan anda terbabas & jatuh kedalam sungai. Kawan anda yang memandu kereta pengsan. Pintu yang terkunci tidak dapat dibuka. Anda, dia & 3 lagi rakan anda mati kelemasan. Tidak ada sesiapa pun yang perasan kerata anda jatuh. Langit kelam, cuaca gelap & tidak ada pulak lampu jalan di situ.SEKARANG anda sudah mati. Anda sudah berpindah ke alam barzah.

CONTOH 6.  Anda membuka internet & mencari blog-blog tertentu untuk melihat contentnya. Anda menyerang blog-blog yang anda tak suka dengan meluahkan caci maki & kata nista terhadapnya. Sebentar kemudian  anda keluar rumah untuk makan. Tiba-tiba datang sebutir peluru sesat dari perompak bank menembusi kepala anda. Terkulai anda tanpa sempat makan.  SEKARANG anda  sudah mati. Anda sudah berpindah ke alam barzah. 

CONTOH 7. Anda bangga dengan agama baru anda. Dengan bangga juga anda memakai tanda kepercayaan agama itu di tubuh anda. Dengan bangga juga, anda menghina Allah & Muhammad,   RasulNya. Kemudian anda memperlekeh-lekehkan  agama Islam &  mentertawakannya. Saat anda ke belakang rumah, seekor ular tendung siap mematuk kaki anda. Masa itu, jiran-jiran semua keluar. Handphone pulak tak ada kredit. Anda terkulai di tangan seekor ular yang entah datang dari mana. SEKARANG anda sudah OUT (tak tergamak nak sebut perkataan mampus). Anda sudah berpindah ke alam barzah. 

Setiap yang mati pasti akan memasuki alam barzah. Di sana ada 5 peringkat keseksaan. [1] Kegelapan kubur [2]  Soalan mungkar & Nakir [3] Himpitan kubur sehinga berselisih tulang rusuk, [4] Kedatangan ular Suja'ul Aqra yang mencari untuk membeliti dan mematuk orang-orang yang tidak bersembahyang. [5] Kedatangan kala, jengking, ular, lipan & sebagainya untuk memberi seksaan kepada mereka-mereka yang asi dan kafir.

KEGELAPAN KUBUR : Anda boleh misalkan seperti perjalanan anda seorang diri ke dalam hutan tebal. Anda tersesat sehingga waktu malam. Di atas kepala anda, awan bergumpal kehitaman mahu menurunkan hujan. Tiba-tiba anda terjatuh ke dalam lubang sedalam 10m. Kaki kanan anda patah. Nak bergerak ke atas  mencari pertolongan sudah tak larat. Anda menjerit & melaung tetapi tiada siapa yang menyahut. Menangislah anda di situ diselimuti kegelapan yang berlapis-lapis.     

SOALAN MUNGKAR & NAKIR. Anda misalkan dentuman petir yang kuat di atas kepala anda pada waktu petang takkala hujan renyai-renyai.. Sekali, 2x dan 3x. Anda terkejut ketakutan & terberak di dalam kain. Dalam keadaan tahi penuh di dubur anda, tiba-tiba dentuman keempat singgah tepat ke dahi anda. Kepala anda berlubang, tubuh anda terbakar & anda kehilangan nyawa pada saat itu juga. .      

HIMPITAN KUBUR SEHINGGA BERSELISIH TULANG RUSUK.Misalkan anda dibelit di sekeliling pinggang anda dengan tali yang besar (katakan tali lembu) dan hujung kedua-dua tali itu ditarik menggunakan gajah. Anda mengelupur kesakitan. Mata tebeliak, lidah terjelir & tangan anda mengelepar. Tetapi anda belum mati. Kemudian datang 2 buah steamroll dari kiri & kanan menghimpit anda, sehingga anda menjadi seperti buah tembikai yang pecah berderai.
   
KEDATANGAN ULAR SUJA'UL AQRA. Diberitakan ular ini ada 2 kepala. Setiap kepala mempunyai 99 lidah yang boleh menyemburkan racun keatas kepala mereka yang meninggalkan solat. Sekarang anda belum mati. Tak jumpa lagi la dengan ular ni. Tak apa2. Kita misalkan sahaja anda berjumpa dengan ular anaconda yang sebesar batang kelapa. Biarkan sahaja tubuhnya membeliti tubuh anda. Kemudian biarkan pulak mulutnya menelan kepala anda. Tengok apa jadi???

KEDATANGAN KALA, JENGKING, ULAR, LIPAN & SEBAGAINYA. Anda misalkan begini sahaja supaya mudah nak faham. Anda masuk ke dalam sebuah bilik kosong tanpa pakaian. Duduk di situ sehingga datang para tetamu anda. Dihumbankan kepada anda, [1] 100 ekor kala, [2] 100 ekor jengking, [3] 300 ekor ular pelbagai jenis, [4] 300 ekor lipan pelbagai saiz, [5] 300 ekor katak pelbagai spesis, [6] 500 ekor biawak kampung, [7] 500 ekor biawak pasir, [8] 100 ekor biawak komodo, [9] 300 ekor tikus pelbagai saiz & [10] 10 tan tahi lembu. Sekadar nak uji jew.. Mampu ke tidak tinggal bersama mereka selama seminggu.

Ingatlah, kita semua akan mati. Saya akan mati, anda akan mati, si murtad itu pun akan mati. Saya akan menuruti jejak ayah saya yang telah mati, datok saya yang telah mati, moyang saya yang telah mati & sulur galur moyang-moyang saya yang terdahulu yang telah mati. Andapun sama. Si murtad itu pun sama. Semuanya bergerak di atas satu garisan lurus yang telah ditetapkan tuhan iaitu KEMATIAN.
       
Akhir sekali, fikir-fikirkanlah. Yang boleh menyelamatkan anda di alam kubur / barzah ialah iman & amal ibadat anda.

Wahai si murtad, Anda mungkin seronok ketawa & mentertawakan orang lain sebelum mati, tetapi di alam barzah, anda akan menangis penuh derita. Samada anda percaya / tidak, tunggulah saat kematian anda.. KEMUDIAN, TUNGGULAH APA YANG BAKAL TERJADI. 

Kepada yang mengenali saya, dengarlah nasihat berguna ini. [1] Percayalah kepada Allah. Taatilah segala perintahNya & jauhilah segala laranganNya. [2] Ikutilah Rasulullah S.A.W. Contohilah sunnah kehidupannya. [3] Sayangilah ugamamu. Jangan berniat sedikitpun untuk menukarnya dengan agama lain.[4] Awasi rakan-rakanmu, sebab mereka mempunyai pengaruh yang besar terhadapmu. [5] Awasilah kematianmu sebab tidak ada seorangpun yang akan terlepas daripadanya. [6] Ketahuilah, azab kubur itu adalah benar, [7] kehidupan di padang mashyar adalah benar, [8] timbangan neraca keadilan adalah benar, [9] titian sirat adalah benar, [9] shurga dan neraka itu juga adalah benar.

KETAHUILAH, SETIAP YANG HIDUP PASTI AKAN MATI.
KEMUDIAN MASING-MASING AKAN MENGETAHUI NASIBNYA..   
 
Disiapkan semula Mei 2012
UNTUK MEMBERI KOMEN/RESPONS, SILA PILIH 'COMMENT AS' DI ATAS SEBAGAI ANONYMOUS ATAU NAME / URL. TAIP NAMA ANDA & ABAIKAN URL. TQ.

No comments:

Post a Comment