Setiap 16 Mei, semua sekolah akan merayakan Sambutan Hari Guru di sekolah masing-masing. Guru-guru akan disambut dalam upacara khusus warna-warni (the colourful ceremony) yang takkan mereka terima pada hari-hari biasa.
Tengok Sambutan Hari Guru di TV, saya merasa ia seperti angin lalu sahaja. Tengok iklan Hari Guru di dada akhbar, saya merasa ia seperti tidak bererti apa-apa.
Sepanjang Sambutan Hari Guru di SMKH2, saya tengok rakan-rakan saya tersenyum memanjang sepanjang majlis berlangsung. Tuan Haji Jasri dengan kelakarnya. Cikgu Zul Awang dengan ketawanya. Cikgu Haizom dengan kesegakannya. Cikgu-cikgu lain pun sama. Tetapi saya tidak gembira.
Tidak ada seorang pun yang tahu kenapa saya tidak gembira.
Saya belum membuka mulut kepada sesiapa pun, termasuk kepada isteri saya. Pendek kata, tidak ada sesiapa pun yang tahu.
Kadang-kala saya terfikir, biarlah dia menjadi rahsia yang paling rahsia di dalam hidup saya. Kalau saya cerita pun, anda tentu tak faham juga perkara tersebut.
Di kesempatan ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru saya, rakan-rakan guru & bakal-bakal guru.
Kalau anda sudi mendengar, saya ingin menukil sebuah cerita indah tentang guru saya. Inilah guru idola saya sebenarnya. Saya anggap dia sebagai ayah saya.
Dia sudah tiada. Dia sudah kembali ke rahmatullah. Tetapi kenangan bersamanya sangat indah. Adat sebagai seorang pelajar, jasa guru dilupa jangan. Guru adalah manusia suci.
Masa itu, saya baru masuk Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi, Kusial. Nama guru tersebut ialah Cikgu Ibrahim. Orangnya bertubuh gempal dan bulat. Suaranya lembut tetapi keluar satu demi satu. Dia jarang tersenyum. Akan tetapi kalau dia senyum, senyumannya sangat cantik.
Cikgu Ibrahim ini adalah guru besar SK Tebing Tinggi pada masa itu. Dia juga mengajar saya Bahasa Melayu. Tahun itu 1968. Dah 44 tahun berlalu.
Akan tetapi, yang saya sangat pasti ialah saya masih ingat padanya. Bahkan saya sangat menyayanginya. Dia adalah manusia suci untuk saya. Dia manusia hebat yang telah mendidik saya menjadi manusia hebat.
Saat saya belajar menulis A, B, C.....Z, dialah yang memimpin tangan saya menulis satu persatu huruf-huruf di atas sehingga penuh satu muka surat. Dia tak pernah marah pada saya. Dia juga tak pernah mengeluh bila saya gagal menulis sebagaimana yang dia kehendaki. Dengan kata lain, dia sangat sabar melayan saya.
Begitu juga bila dia mengajar saya menulis a, b, c sehingga habis 26 huruf roman. Dia mengajar saya penuh kasih sayang.
Begitu juga bila dia mengajar saya menulis huruf bersambung (maksudnya huruf reke). Saat saya terkial-kial, dia memimpin tangan saya dengan lembut. Dia tak pernah marah. Dan dia juga tak pernah mengeluh.
Saya anggap dia sebagai guru idola saya. Guru yang paling hebat. Saya juga menganggap dia sebagai bapa saya.
Dia ingat nama saya. Di mana pun saya berjumpa dengan dia atau sebaliknya, dia ingat nama saya. Dan dia selalu memanggil nama saya, Zain. Walau pun kami hanya bercakap sebentar, tetapi kesempatan dapat bercakap dengannya menjadikan saya sangat gembira. Benar-benar gembira.
Bila saya naik Darjah 2, 3, 4, 5 & 6, dia tetap ingat nama saya dan selalu mengajak saya bersembang-sembang dengannya. Dia suka bertanya khabar pelajaran saya & keluarga saya. Kebaikan hatinya menyebabkan saya sangat sayang padanya.
Walau pun kemudian saya berpindah ke sekolah menengah, ingatan saya kepadanya tidak pernah luput. Saya anggap dia sebagai bapa saya. Insan yang sangat baik & penuh keprihatinan terhadap murid.
Sebagai penutup, sekali lagi saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru saya yang masih ada di SK Tebing Tinggi (1968 -1973), SMK Dato Mahmud Paduka Raja, Tanah Merah (1974 - 1975), SMK Ketereh (1976-1977) & Sultan Ismail College, SIC (1978 - 1981).
Kepada yang sudah tiada, jasamu tetap kukenang. Engkaulah guru, pelita hatiku. Semga Tuhan membalas semua kebaikan hatimu dengan shurga yang indah.
Wahai Tuhan, sayangilah semua guruku sebagaimana mereka menyayangiku.
Wahai Tuhan, pandanglah mereka dengan pandangan rahmatMU.
Berikanlah shurgaMu yang indah untuk mereka. Aamiin.
KEPADA PARA PEMBACA SEKALIAN
Sebagai tanda anda sayang kepada guru anda, sila tuliskan ucapan anda, SELAMAT HARI GURU.
DISIAPKAN PADA 18 MEI 2012 10.36 PM
Untuk memberi ucapan, pilih Anonymous atau name / url. Taip nama anda & abaikan url. Tq.
No comments:
Post a Comment