BUNGA NAN INDAH

Monday, 6 August 2012

KATA-KATA HIKMAT SALAHUDDIN AL-AYUBI




 
Sudah lama saya ingin mengupas kata-kata ini, tetapi selalu tidak berkesempatan. Saya selalu mengutamakan tajuk-tajuk yang lain dan menganggap tajuk ini tidak penting.

Benarkah demikian?

Kemudian saya terfikir, tidak mungkin MANUSIA HEBAT seperti Salahuddin Al-Ayubi bercakap pada harga yang rendah.  KATA-KATANYA MESTILAH SESUATU YANG SANGAT BERHARGA.

Sebelum saya teruskan, ada entri terbaru dari BANGGOL PETAI. COM. Kisahnya tentang Al-Mahdi Akhir Zaman. Kisah benar yang dituturkan oleh sahabat Nabi, Abu Hurairah r.a. Sebelum anda terkejut, nama blog itu pun dah ditukar kepada nama baru. MENCARI DAMAI DI LANGIT BIRUMU. 

Sekarang mari kita kembali kepada kata-kata hikmat panglima perang Islam terkenal, Salahuddin Al-Ayubi. Kita baca bersama-sama.

SAYA MEMINTA KEKUATAN, DAN ALLAH MEMBERI SAYA KESULITAN UNTUK MEMBUATKAN SAYA KUAT

SAYA BERTANYA TENTANG KEBIJAKSANAAN DAN ALLAH MEMBERIKAN SAYA MASALAH UNTUK DISELESAIKAN

SAYA MEMINTA UNTUK KEMAKMURAN DAN ALLAH MEMBERIKAN SAYA FAKULTI DAN TENAGA UNTUK BERKERJA

SAYA MEMINTA KEBERANIAN DAN DIA MEMBERI SAYA BAHAYA UNTUK DIATASI

SAYA MEMINTA CINTA DAN DIA MEMBERI SAYA ORANG-RANG YANG BERMASALAH UNTUK DIBANTU

SAYA MEMINTA NIKMAT DAN DIA MEMBERIKAN SAYA PELUANG

SAYA TIDAK MINTA APA-APA UNTUK DIRI SAYA, TETAPI SAYA MENERIMA SEMUA YANG SAYA PERLUKAN.

Saat saya habis membaca kata-kata di atas, saya pun teringat kepada kisah Nabi Musa a.s bercakap dengan tuhan.

Baginda bertanya,"Wahai Tuhanku, bagaimanakah Engkau menjaga alam semesta ini?"

Allah tidak langsung menjawab pertanyaan itu, sebaliknya baginda disuruh mencari 2 botol kosong dan memegang kedua-duanya pada tangan kiri dan kanannya.

Dalam keadaan berdiri memegang kedua-dua botol itu, tiba-tiba baginda mengantuk. Terlepaslah botol itu daripada tangannya. .

Allah kemudian menjawab pertanyaan Nabi Musa. "Wahai Musa, sekiranya aku mengantuk  walau sedikit atau pun aku tertidur walau sedikit, nescaya rosak binasalah alam semesta ini. Tengok diri engkau tadi, dengan sedikit mengantuk sahaja, botol itu terlepas dari tanganmu."

Sekarang mari kita kembali kepada kisah Salahuddin A-Ayubi di atas. Mari kita teliti satu persatu kata-kata hikmatnya.

[1] SAYA MEMINTA KEKUATAN, DAN ALLAH MEMBERI SAYA KESULITAN UNTUK MEMBUATKAN SAYA KUAT.

Bila tuhan memberi kesulitan kepada kita, dia menyuruh kita berfikir dengan otak. Otak yang kerap berfikir akan menjadikannya lebih sihat dan kuat. Otak yang malas akan menjadikannya lebih lembam dan tumpul.

Kemudian tuhan menyuruh kita berkerja. Berkerja itu mengerakkan seluruh otot, urat dan sendi. Tubuh jadi lebih sihat. Peloh kemudian keluar mencurah-curah. Tubuh kita menjadi lebih sihat dan bertenaga.

Deikianlah kita menjadi SIHAT DAN KUAT  dari KESULITAN yang tuhan berikan.


[2] SAYA BERTANYA TENTANG KEBIJAKSANAAN DAN ALLAH MEMBERIKAN SAYA MASALAH UNTUK DISELESAIKAN

Setengah orang sangat bosan dengan masalah. Kata mereka, hidup mereka sangat serabut, fed-up, tertekan dan sebagainya. Ketahuilah, “masalah” itu bukan datang sendiri, tetapi datang dengan keizinan  tuhan.

Masalah itu adalah makhluk seperti anda juga. Tuhan sengaja memberikan kepada kita supaya otak kita ligat berfikir untuk menyelesaikannya. Semakin cepat dan tangkas kita berfikir, maka semakin cepat masalah itu selesai.

Demikianlah kita memperolehi KEBIJAKSANAAN ITU  dari sekian banyak MASALAH di sekeliing tubuh kita.  


[3] SAYA MEMINTA UNTUK KEMAKMURAN DAN ALLAH MEMBERIKAN SAYA FAKULTI DAN TENAGA UNTUK BERKERJA

Berdoa sahaja untuk mendapat rezeki yang murah adalah tidak mencukupi. Setiap orang mesti berusaha di dalam bidang masing-masing. Dan setiap mereka pula mesti mengunakan tenaga maksimum yang ada pada mereka.

Jangan malas, lembik, luyu & koyo. Anda mesti berani.

Dengan kata lain, puncak kejayaan adalah TAWAKKAL. Saya pernah melihat beberapa ekor burung kecil di hadapan sekolah saya. Terlihat pada saya kesungguhan mereka mencari rezeki.

Bekerjalah, berusahalah. Nanti tuhan akan berikan rezeki yang banyak kepada anda. 


[4] SAYA MEMINTA KEBERANIAN DAN DIA MEMBERI SAYA BAHAYA UNTUK DIATASI.

Pendekar yang handal bermula dari seorang pelajar yang tidak tahu apa-apa. Dia diuji bermacam-macam perkara oleh gurunya. Dan dari latihan yang keras, dia kemudian berjaya mengangkat dirinya menjadi manusia yang berharga.

Dia telah melalui kesulitan demi kesulitan untuk berjaya.

Bahaya itu mungkin datang dari binatang buas, haiwan-haiwan merangkak, jin, syaitan, orang-orang jahat dan sebagainya.  Tujuannya supaya kita selalu bersedia menghadapi mereka. Dan supaya kita selalu bersedia menghadapi risiko terhadap mereka.

Keberanian akan timbul dari sikap kita yang berani terhadap mereka. Bila tuhan memberi kita bahaya, itu tandanya DIA menyuruh kita menjadi manusia berani.     


[5] SAYA MEMINTA CINTA DAN DIA MEMBERI SAYA ORANG-ORANG YANG BERMASALAH UNTUK DIBANTU.

Maksud “orang yang bermasalah” itu rencam. Banyak tafsiran dan jenisnya. Mungkin orang itu sakit, lumpuh, kekeringan duit, ada masalah keluarga, mempunyai hajat besar dan sebagainya.

Saat anda mendatangi mereka atau mereka mendatangi anda, akan terjadi luahan perasaan dan harapan untuk mendapat pertolongan.

Kalau anda menolong mereka, maka mereka sangat gembira. Wajah mereka berseri-seri dan sedia membalas pertolongan anda dengan apa cara sekali pun.

Mereka sangat mencintai anda di atas pertolongan anda.

Demikianlah Tuhan menghantar ‘rang-orang yang bermasalah” itu kepada kita supaya kita mendapat banyak CINTA  dari banyak ORANG di sekeliling kita..


[6] SAYA MEMINTA NIKMAT DAN DIA MEMBERIKAN SAYA PELUANG
Kalau anda membaca KATA RENUNGAN pada sebelah kiri blog saya ini, anda pasti akan terjumpa kata-kata ini.

ORANG YANG BIJAKSANA ITU IAAH ORANG YANG PANDAI MEREBUT PELUANG.
Maksudnya luas. Tetapi untuk memudahkan anda faham, saya berikan anda contoh simple seperti di bawah.

Ali ingin berkahwin, tetapi selalu ada masalah. Satu masa, ada seorang wanita mencintainya. Dan dia sendiri pun menyukai wanita itu. Kebetulan, jualan getahnya agak lumayan musim itu.

Maka itulah peluang yang diberikan tuhan kepadanya. Ambilah, rebutlah peluang itu.

Peluang itulah jalan kepada nikmat.    


[7] SAYA TIDAK MINTA APA-APA UNTUK DIRI SAYA, TETAPI SAYA MENERIMA SEMUA YANG SAYA PERLUKAN.

Orang yang baik ialah orang selalu menjaga kebajikan dirinya. Tetapi orang yang terlebih baik akan selalu menjaga kebajikan orang lain di sekelilingnya.

Tengok Nabi Muhamad S.A.W. Baginda selalu menyeru “ummati, ummati” sebagai tanda kasih sayang kepada umatnya. Baginda sayang kepada mereka semuanya dan selalu memperingatkan mereka tentang solat.

Jika kita mengambil sikap yang demikian, selalu menjaga kebajikan ahli keluarga, jiran-jiran tetangga, masyarakat setempat dan negara, maka insyaallah, tuhan akan membalasi kita dengan limpahan rahmatNya yang berganda-ganda.

Menolong diri sendiri adalah lumrah, tetapi menolong orang lain adalah sebuah keajaiban.

Menyayangi diri sendiri adalah lumrah, tetapi menyayangi orang lain adalah sesuatu yang sangat berharga.

Allah melihat dan mengetahui sikap anda, pastinya DIA akan memberikan anda sesuatu yang mencukupi seluruh hidup anda.

DISIAPKAN PADA 6.8.2012    7.12 AM.  TERIMA KASIH.    

1 comment: