BUNGA NAN INDAH

Thursday 16 February 2012

MAJLIS PERSARAAN PUAN HAJJAH HAMIDAH BT YAACOB

 
Saya melihat Cikgu Jamia di sebelah saya mengalirkan air mata. Saya juga melihat Ustaz Wan Zulkifli di tepi tiang Dewan Gemilang mengesat kelopak matanya. Saya juga ternampak kaunselor sekolah, Tn Haji Zulkifli di kerusi batu dekat air terjun simenfero mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Dan saya sendiri pun tak dapat menahan kesedihan hati saya. Air mata saya merembes turun seperti air hujan. Saya biarkan sahaja walau pun saya amat malu kepada pelajar-pelajar di depan saya.

Semua orang menangis hari ini. Guru-guru perempuan keseluruhannya menangis. Mata mereka bengkak dek tangisan yang tidak berhenti-henti semenjak kelmarin. Kelmarin mereka menangis, hari ini menangis lagi. saya pun sama. Sehari dua ini kami hanya menangis. Menangis mengenangkan saat perpisahan Tuan Pengetua kami, Puan Hajjah Hamidah bt Yaacob.

Pelajar lelaki yang berada di Dewan Gemilang tempat kami berhimpun hari ini juga menangis. Semuanya senyap & kesedihan. Masing-masing mengesat air mata yang tumpah.  Keadaan menjadi senyap dengan tidak ada seorang pun di kalangan mereka yang bercakap.Mereka betul-betul kehilangan seorang ibu hari ini. Diam, sedih & tidak bercakap sepatah pun.

Pelajar-pelajar perempuan pulak, usah cerita la.Masing-masing menangis tanpa malu & segan. Mereka menangis sepuas-puasnya. Saya tak sanggup memandang mereka. Kalau saya melihat kesedihan mereka, saya bimbang saya pula bertambah-tambah sedih. Hari ini air mata ada pada setiap orang. Semuanya menangis. Semuanya kesedihan.  

Paling sedih bila ucapan beliau sampai kepada ayat "saya minta maaf di atas segala salah silap saya". Di situlah saya benar-benar terharu. Air mata saya segera berkelopak & berguguran turun mengenangkan keikhlasannya merendah diri. Walau pun selama ini orang mengenal beliau sebagai pengetua yang sangat tegas, tetapi ketegasan beliau sebenarnya untuk kebaikan semua pihak. Ketegasan beliaulah yang mengangkat darjat SMKH2 sebagai sekolah harian yang terbaik di dalam PPD Machang.

Saya cukup mengkagumi ketegasan beliau dan saya pun sangat suka kepada sikap tegas beliau. Sebab itu, saya menyanggupi menjadi guru disiplin selama 3 tahun di bawah pentadbiran beliau. Beliau membuat yang terbaik untuk SMKH2 sebagaimana saya membuat yang terbaik untuk mengawal disiplin pelajar-pelajar SMKH2.  Bagi  saya secara pribadi, saya yang sepatutnya meminta maaf kepada beliau. Saya pun ada juga melakukan ralat di dalam kerja saya sehingga terganggu beberapa objektif yang saya tetapkan untuk beliau..

Secara ikhlas, ibu saya sendiri adalah seorang yang sangat tegas. Hasi didikan beliaulah, saya menjadi seorang guru seperti sekarang. Kerana beliau jugalah, saya sentiasa bangun sebelum waktu subuh & mengekali solat 5 waktu. Sebab itu, secara ikhlas juga saya suka kepada ketegasan Puan Hajjah Hamidah di dalam mentadbir sekolah. Ketegasan akan membereskan banyak hal yang kurang beres.   

Kemudian ucapan beliau berlangsung lagi. Dan inilah ayat yang paling menyedihkan bagi saya.  Hati saya  menjerit-jerit kesedihan bila tiba pada ayat" bila saya tiada lagi, bacalah Al-Fatihah untuk saya di alam barzah". Ayat inilah yang menyebabkan saya menangis tersedu-sedu. Saya seakan-akan tidak redha beliau bercakap seperti itu. Perpisahan ini hanya sekadar sebuah persaraan. Mengapa beliau tergamak mengucap kata-kata yang hiba seperti itu?

Saya melihat ramai yang menangis tersedu-sedu pada saat ini. Guru-guru perempuan yang berada di atas pentas bercucuran air mata masing-masing, terutama sekali Cikgu Sapinah, Kamsiah, Maizan, Norma, Suhaimi dan sebagainya. Mereka ini adalah bekas pelajar kepada Tuan Pengetua. Guru-guru lain pun sama. Semuanya menghamburkan air mata kesedihan mendengarkan kata-katanya tadi. 

Saya cuba untuk tidak menangis lagi. Tetapi air mata saya tetap turun membasahi pipi. Saya biarkan sahaja. Hari ini adalah hari air mata untuk kami semua. Air mata ini menjadi saksi bahawa kami sangat sedih kerana  kehilangan beliau.   

Semenjak saya datang ke SMK Hamzah 2 sejak 1.1.2009, saya melihat beliau mempunyai 5 keistimewaan berikut. Inilah sifat-sifat beliau yang barangkali  tidak ada pada pengetua lain. 

[1] KERJA CEPAT DAN BERKUALITI. Inilah konsep kerja beliau.  Semua warga guru & staff sokongan mesti mengunapakai prosedur kerja yang ditetapkan beliau. Kami mesti menyiapkan kerja yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan.

Sebenarnya, kalau kita melihat dari sudut agama pun, pendekatan di atas memang tepat. Kerja cepat bermaksud kerja yang disiapkan awal atau kerja yang dilakukan pada awal waktu. Jangan main-main. Tengok sahaja kefardhuan solat, kita disuruh mengerjakan solat pada awal waktu. Dengan itu, kerja cepat itu selari dengan tuntutan agama.

Kerja berkualiti pulak bermaksud kerja yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Saya teringat satu hadis Nabi, mafhumnya "Sesungguhnya amal yang disukai tuhan ialah yang dilakukan secara bersungguh-sungguh". Dalam hadis yang lain, nabi ada bersabda, mafhumnya, "Sesungguhnya mukmin yang terbaik ialah yang hari ini lebih baik dari hari semalam". Kedua-dua hadis ini menekankan peningkatan kualiti dalam kerja dan hidup. Buatlah kerja anda secara bersungguh-sungguh.  . 

[2] PALING AWAL DATANG KE SEKOLAH. . Saya selalu sampai ke sekolah pada jam 7.15 pagi. Kadang-kadang ada juga saya sampai awal. Seawal mana pun saya sampai, beliau sentiasa mendahului saya. Bila saya selidiki, saya mendapati beliau sentiasa mendisiplinkan diri beliau sampai pada jam 6.45 pagi. Satu rekod kehadiran yang baik dan terpuji.

Beliau bukan sahaja datang awal ke sekolah,  bahkan juga ke masjid. Kalau saya kebetulan pergi ke Masjid Sutan Ibrahim Putra di Bandar Machang, samada waktu Asar atau Maghrib atau Subuh, keretanya DAH 64 dah parkir di situ. Kehadiran beliau selalu mendahului azan. Disiplin beliau yang cukup tinggi di dalam hal ini menjadikan saya sangat "malu alah" kepada beliau.

[3] SELALU BERPUASA ISNIN & KHAMIS. Sebab itu barangkali beliau sihat walafiat & jarang ditimpa penyakit. Seingat saya, sepanjang 4 tahun saya bertugas di SMKH2, beliau hanya sekali mengambil cuti (cuti 2 hari serentak) kerana sakit perut.  Saya pun kadang-kadang malu kepada beliau. Walau pun saya lebih muda daripada beliau, tetapi saya mempunyai pakej penyakit yang agak kronik, walhal beliau mempunyai tahap kesihatan yang lebih stabil daripada saya

[4] SELALU MENGIRIMI BUAH TANGAN.. Ini memang sifat beliau yang paling saya segani. Semasa beliau pergi bercuti ke Bali, Indonesia, beliau membelikan kepada semua guru & staff sokongannya hadiah masing-masing. Saya mendapat sehelai baju Bali berkain kapas yang nipis. Bila beliau pergi bercuti ke Turki pulak selepas itu, masing-masing kami mendapat key-chain dari Turki. Terima kasih. Walau pun hadiah itu kecil cuma, tetapi ingatannya kepada kami sangat besar. Saya sendiri pun tidak pernah memberi apa-apa hadiah kepada beliau, cuma doa tulus ikhlas semoga tuhan sentiasa merahmati & memberkati hidup beliau dunia & akhirat. 
  
[5] TIDAK ADA PILIH KASIH UNTUK JAMUAN. Beliau tidak pernah membeza-bezakan darjat dan status antara kami. Semua guru & semua staff sokongan, tak kira siapa pun dia mesti hadir ke jamuan yang diadakan. Beliau mahu semua hadir, termasuk tukang kebun sekolah. Prinsip beliau ," hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah". Hasil didikan beliau seperti ini, kami ini ibarat sebuah keluarga besar yang saling hormat-menghormati & lengkap melengkapi.

 Demikianlah sifat beliau yang terpuji. Pemergian beliau dari alam sekolah mengingatkan saya bahawa tidak mudah sebenarnya mencari seorang pemimpin yang berkualiti. Ketegasan beliau menjadikan SMKH2 berjaya muncul sebagai sekolah harian terbaik di dalam keputusan PMR & SPM di dalam PPD Machang.

Ketegasan beliau juga menjadikan SMKH2 sebagai sekolah yang terkawal masalah disiplinnya. Begitu juga dengan kadar ponteng yang relatif rendah. SMKH2 muncul sebagai sekolah terbaik di dalam PPD Machang dengan peratus kehadiran sentiasa melebihi 90%.

Ketegasan beliau juga menjadikan SMKH2 mendapat anugerah PENGURUSAN KO- KURIKULUM TERBAIK PPD MACHANG 2011. Jasa-jasa beliau sangat besar. Terima kasih kerana memimpin kami. Pemergianmu sangat-sangat mengesankan kami.

Kepada bekas-bekas pelajar SMKH2, inilah ibu anda yang sudah tidak lagi berada di anjung SMKH2. Ziarahilah dia di rumahnya. Tataplah wajahnya. Bermesralah dengannya. Hiburkanlah hatinya. Janganlah lupakan jasa-jasanya terhadap kita.

Sebelum meninggalkan post ini, sila coretkan sesuatu kepada beliau di ruangan komenter di bawah. Tunjukkanlah kasih sayang anda pada beliau. Dialah ibu yang telah banyak berjasa kepada kita. 

Dia telah 10 tahun membanting tulang & memerah keringat untuk membangunkan prestij SMKH2. Besar jasanya kepada kita. Doakanlah semoga jasa-jasanya dilimpahi ganjaran setimpalnya oleh Tuhan Rabbul Jalil.


Sekian. Terima kasih.


Disiaapkan pada 16.2.2012   8.43 pm
UNTUK MEMBERI KOMENTAR, PILIH 'COMMENT AS' DI BAWAH SEBAGAI ANONYMOUS ATAU NAME / URL. TAIP NAMA ANDA & ABAIKAN URL. TQ         .

No comments:

Post a Comment