Kadang-kadang ia berlaku di sekolah-sekolah yang berdekatan, seolah-olah ada MOU antara mereka. Di sekolah A, pelajar ternampak seorang perempuan tua berambut panjang berwarna putih. Mukanya seperti papan, licin & putih, tanpa mata, hidung & mulut. Tetapi ia boleh bersuara & menegur manusia. Siapakah dia???
Di sekolah B pulak, terjadi histeria juga. Jarak antara A dan B cuma 5 km sahaja. Di sekolah B, pelajar ternampak seorang perempuan bertubuh besar. Matanya merah seperti marahkan seseorang. Siapakah dia???
Demikianlah beberapa scenario histeria yang berlaku beberapa hari ini. Pelajar takut, suasana tegang dan pelajaran menjadi terganggu Ruapa-rupanya histeria ini penyakit global. Seingat saya, kejadian histeria paling mengemparkan pernah berlaku di Johor & Pahang.
Ada beberapa kemungkinan ia berlaku. Mungkin kerana pelajar-pelajar zaman sekarang kurang mengerjakan solat??? Kalau bersolat pun, hanya di asrama sahaja. Atau kalau mereka bersolat pun, mereka tidak mempunyai wirid-wirid tertentu sebagai benteng pertahanan diri (membaca Ayatul Kursi misalnya).
Temubual berikut diambil selepas kejadian histeria di SMK Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang. Kejadian tersebut mendapat litupan meluas di dalam akhbar. Seluruh negara gempar.
“Histeria
berlaku kerana makhluk halus atau jin marah atau berdendam terhadap
manusia selepas ia diganggu. Jin memang boleh meresapi manusia dan ada
hadis menyokong kenyataan ini,” kata bekas pensyarah Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pengkaji kebudayaan Islam, Datuk Dr
Amran Kasimin.
Ikuti ulasan lanjut beliau berhubung fenomena ini yang
kini mencemaskan masyarakat, terutama ibu bapa pelajar yang menjadi
mangsa, kerana proses pembelajaran anak mereka terjejas berikutan
sekolah terbabit terpaksa ditutup sementara waktu untuk menenangkan
keadaan.
Ikuti temubual dengan DATUK DR AMRAN KASIMIN
Soalan (S): Bagaimana histeria berlaku dan mengapa?
Jawapan
(J): Histeria boleh berlaku atas dua faktor iaitu disebabkan tekanan
dan gangguan. Apabila tertekan sama ada di sekolah, tempat kerja, cinta
atau pergaduhan, diri hilang pertimbangan dan kerana itu makhluk halus
atau jin mudah menguasai diri.Manakala gangguan pula membabitkan kes
seperti salah menuntut ilmu persilatan, tarian tradisional, menurun atau
orang biasa. Ini gangguan syaitan dan iblis kerana mereka pernah
berjanji untuk menyesatkan manusia walau apa cara sekalipun.
S: Kebelakangan ini banyak kes histeria berlaku di sekolah, apa puncanya?
J:
Satu sebab jin mengganggu manusia ialah kerana marah atau berdendam
selepas ‘kediamannya’ dirampas manusia, contohnya kawasan itu dijadikan
sekolah atau bangunan. Sebab itu sekolah baru buka kerap berlaku
histeria.Selain itu, mungkin ada pelajar ‘mengganggu’ tempat jin itu
seperti membuang air kecil di tempat tidur atau tempat tinggalnya. Ia
mungkin dilakukan di kawasan hutan berhampiran sekolah atau belukar yang
menjadi kediaman jin. Itu juga boleh menyebabkan kemarahan jin.Boleh
jadi juga sebab mereka (jin) diganggu bunyi bising disebabkan
‘kenakalan’ pelajar terbabit sehingga menimbulkan kemarahan. Jika lama
terpendam, ia bertukar menjadi dendam dan tiba masanya, jin itu
‘menyerang’ (berlakunya histeria).Namun histeria sebenarnya boleh
berlaku kepada sesiapa saja dan tidak kira di mana. Jika jin diganggu,
mereka membalas semula. Kes yang banyak berlaku di sekolah sekarang
mungkin hanya kebetulan.
S: Bagaimana jin memasuki tubuh manusia dan ke mana tujunya?
J:
Jin boleh masuk ke tubuh melalui pelbagai cara, sama ada hidung, mulut,
telinga, ibu jari kaki dan tangan. Ia makhluk halus, tidak berjasad dan
mudah berbuat demikian.Selepas masuk, ia terus menyerang dan mengawal
otak manusia, sekali gus menyebabkan perilaku tidak normal, mengubah
personaliti seseorang mengikut jenis jin yang memasuki tubuhnya.Ada yang
dirasuk boleh bercakap dalam bahasa Thailand atau Indonesia kerana ia
pelbagai jenis dan bangsa, sama seperti manusia.Misalnya, jika jin tua
masuk ke badan, mangsa berkelakuan seperti orang tua, bongkok. Perlu
diingat, jin ini tidak mati sehingga hari kiamat.
S: Mengikut fahaman Datuk, bagaimana serangan jin boleh menyebabkan histeria ini?
J:
Jin menyerang manusia dalam keadaan tak sedar dan sukar dikawal.
Serangan memang dahsyat kerana dia memperalatkan tubuh manusia. Ada
berlaku, pelajar menggigit jari sampai berdarah kemudian menghirup darah
sendiri. Sebenarnya yang menghirup darah itu jin, bukan pelajar. Jin
cuma mempergunakan tubuh pelajar tadi.Ada juga mangsa yang boleh
berkelakuan luar biasa seperti menumbuk dengan kuat, sedangkan yang
dirasuk jin itu adalah wanita.
S: Mengapa apabila berlaku serangan histeria, ia mudah berjangkit kepada orang lain?
J:
Memang jin boleh berjangkit selepas menyerang manusia. Ia pantas, malah
boleh diibaratkan sama seperti cahaya. Dalam sekelip mata, ia boleh
menyerang ramai orang.
S: Bolehkah histeria mendatangkan kemudaratan atau bahaya kepada mangsa, terutama pelajar?
J:
Ya... kerana histeria ini menyerang otak dan fikiran manusia. Ia sama
dengan simptom dialami orang gila iaitu hilang ingatan.Bezanya, histeria
akan pulih jika jin dapat dikeluarkan dari tubuh badan. Tidak seperti
penyakit gila yang mungkin berlanjutan jika kerosakan sel otak yang
dialami pesakit tidak dapat dirawat.Namun jika histeria itu kerap
menyerang seseorang, ia membahayakan diri mangsa, fikiran mungkin
‘dirosakkan’ makhluk berkenaan sehingga menyebabkan gila.
S: Apakah tanda seseorang itu diserang histeria?
J:
Tangan menggeletar dan sejuk. Dia juga seperti dalam fantasi, mungkin
terdengar bunyi air, desiran angin atau loceng yang sayup kedengaran.Ia
boleh dirasai. Selepas jin ada pada tubuh, mangsanya melihat dunia ini
gelap, kepalanya bergoyang dan tubuh menggeletar.
S: Adakah benar mangsa yang dirasuk boleh melihat makhluk halus?
J:
Ya... tetapi ia berlaku sekali imbas saja dan ia tampil dalam pelbagai
rupa dan bentuk menakutkan. Ada juga yang menyerupai objek seperti ular.
Jika ada pengakuan menyatakan ia melihat makhluk aneh, ia bukan ilusi
tapi memang benar kerana Allah SWT membuka sedikit ruang untuk
melihatnya.
S: Mengapa wanita sering jadi sasaran atau mangsa histeria?
J:
Wanita lebih sensitif dan dianggap lemah berbanding lelaki. Apatah lagi
dalam keadaan tertentu, wanita memang lemah seperti ketika haid,
mengandung atau berpantang. Begitupun lelaki juga tidak terkecuali, ada
yang kena jika tidak kuat semangat.
S: Bagaimana cara atau kaedah untuk mengelak menjadi mangsa?
J:
Berpegang teguh dengan ajaran Allah SWT adalah langkah terbaik. Jin
sebenarnya boleh mengetahui kekuatan roh seseorang, sama ada memiliki
cahaya (iman) atau tidak. Jika kuat dengan amal ibadat, dia tidak suka
mendekati.Namun antara amalan yang boleh dilakukan ialah baca ayat Kursi
selain doa. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Barang siapa membaca ayat
Kursi ketika di tempat pembaringan (tidur), Allah SWT menghantar dua
malaikat untuk menjaganya hingga waktu subuh.”
S: Adakah wajar kita membuat perjanjian dengan jin untuk menghindarkan gangguan histeria ini sehingga perlu mematuhi syarat tertentu?
J:
Itu tidak boleh. Jika letak syarat, ia menampakkan kita lemah, malah
syirik. Memang ada ‘tawar-menawar’, tetapi jangan letak syarat. Dalam
satu kes, jin pernah minta tempoh seminggu untuk berpindah dari situ
tempat dan tidak salah membenarkan. Barangkali mungkin jin itu hendak
berkemas sebelum beredar tetapi selepas seminggu, pastikan mereka
tiada.Dalam tempoh itu jin tidak mengganggu lagi, jika adapun sekadar
gangguan kecil seperti terdengar orang mandi, suara ganjil atau kelibat
seseorang.
S: Benarkah makhluk halus ini boleh dipindahkan beramai-ramai menggunakan kenderaan?
J:
Jin boleh diibaratkan pergerakannya sama seperti cahaya, pantas dan
laju. Jika kita menggunakan kenderaan untuk memindahkan mereka ke tempat
lain yang mengambil masa beberapa jam perjalanan, selepas tiba, mereka
kembali semula ke tempat asal hanya dalam beberapa minit atau saat saja,
jadi bagaimana? Bagi saya, ini tidak logik dan menyukarkan.
S: Ada pihak ‘memagar’ tempat tertentu seperti sekolah atau bangunan untuk menghalau gangguan makhluk halus, apa pandangan Datuk?
J:
Pada saya tidak salah, namun wujud kebimbangan. Malah ada yang memagar
dengan bantuan jin juga dan ini bahaya, tidak mustahil jin ini boleh
mengganggu tempat itu. Sebaik-baiknya kembali kepada ajaran Islam,
gunakan ayat al-Quran.
S: Bagaimana pula kes mereka yang diserang histeria dan selepas dirawat, diserang kembali?
J:
Apabila seseorang itu diserang histeria, ‘laluannya’ sudah ada. Sebagai
contoh, apabila masuk ke hutan, kita membuat lorong dan jika hendak
masuk kali kedua, kita guna lorong sama. Begitu juga dengan jin, namun
lorong itu perlu ditutup dengan cara memperbanyakkan amalan.
S: Apakah jenis-jenis jin?
J:
Seperti manusia, jin ada pelbagai jenis dan taraf. Ada jantan dan
betina; Islam atau kafir. Makanannya nasi, darah, malah ada yang tidak
makan. Ada juga terbang di udara dan melata di bumi. Tempat kotor
seperti kawasan penyembelihan paling disukai. Makhluk ini tidak mati
sehingga hari kiamat dan mereka sudah berjanji untuk menyesatkan manusia
walau dengan apa cara sekalipun.
**Sesudah mengetahui temubual di atas, perkemaskanlah diri anda dengan sentiasa mewiridkan Ayatul Kursi 1X selepas setiap solat. Lebih baik lagi, jika anda dapat mewiridkan Ayatul Kursy 18X sehari (antara Zohor & Maghrib). Terima kasih.
**Sesudah mengetahui temubual di atas, perkemaskanlah diri anda dengan sentiasa mewiridkan Ayatul Kursi 1X selepas setiap solat. Lebih baik lagi, jika anda dapat mewiridkan Ayatul Kursy 18X sehari (antara Zohor & Maghrib). Terima kasih.
No comments:
Post a Comment