BUNGA NAN INDAH

Saturday, 24 November 2012

ANAK-ANAKKU, PUTRA-PUTRIKU (SIRI 1)




ANAK-ANAKKU, PUTRA-PUTRIKU (SIRI 1)
Tajuk di atas kelihatannya unik & ganjil. Kelihatannya seperti saya ini mempunyai anak yang sangat ramai, padahal anak saya cuma seorang.  Putri tunggal saya cuma Azura, 15T yang baru melepasi PMRnya baru-baru ini.

Tetapi saya mempunyai anak-anak angkat yang ramai. Saya sendiripun tak ingat berapa jumlah mereka.  Kebanyakan mereka adalah bekas pelajar saya & pernah belajar Addmath dengan saya. So, mereka kenal sangat perangai saya sebagaimana saya cukup kenal perangai mereka.

Saya bukanlah seorang insan yang istimewa. Pun bukan seorang guru yang istimewa. Semua pelajar saya tahu saya ini bengkeng & tegas. When I say white, there is no black at all.  Jadinya, anak-anak saya ni memang dah masak dengan perangai saya. BENGKENG, CENGIL & KUAT BERLETER.

Barangkali isteri saya menarik minat mereka. Mereka semua memanggilnya Umie. Isteri saya suka bercerita. Kadang-kadang saya pun gelak mendengar ceritanya. Lucu. Humour. Menyentuh perasaan.

Atas permintaan ramai daripada mereka, mereka bersetuju cerita pasal anak-anak angkat ini diblogkan. Kata mereka, biar jadi kenangan sejarah dalam blog saya ini.

Saya sendiripun tak tahu nak mulakan dari mana, nak dahulukan siapa, nak ambil yang mana dulu. Tetapi fikir punya fikir, biar saya mulakan dari kakak yang paling sulong.

Anak angkat saya yang paling sulong, namanya Norhazwani bt Abdullah (SMK Paloh, SPM 2004). Sekarang belajar di tahun Akhir di Kolej Kejururawatan Sungai Buluh. Kiranya ini semester akhir. Kalau tak ada aral bahaya, lepas ni berkerjalah.

Orangnya kecil molek, putih bersih & berkaca mata. Keistimewaan Wani ni ialah sikap lemah lembutnya sebagai seorang kakak. Dalam keluarganya pun, memang dia anak sulong. Cara bercakapnya memang sopan.

Kalau sebut pasal senyuman, tak ada orang yang dapat mengalahkan senyumannya. Manis letting, kata orang Kelantan. Tetapi dah lama dia tak datang menziarahi saya di Machang. Sibok kot. Tak apalah, Ada kelapangan, insyaallah, dia akan datang. Saya dah usik dia suruh beli kereta bila berkerja nanti. Dia dah ada lesen.

Anak angkat saya yang kedua, Nor Afzan bt Saleh (SMK Paloh, SPM 2006). Kalau Wani tu kecil orangnya, Afzan ini pula besar. Dulu dia belajar kat Kolej Islam Sains & Teknoloji (KIST).

Masa saya dimasukkan ke Hospital Krai selama 4 hari pada tahun 2009, kebetulan dia praktikal di sana. Masa itu dia tahun Akhir di KIST. Sekarang beliau berkerja di KL. Baru-baru ini, pada 8.11.2012, dia menghadapi temuduga jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya doakan dia Berjaya.

Selama ini pun, kalau saya ada masalah dengan penyakit saya, saya selalu bertanyakan dia. Sifatnya bagus. Suka menolong, prihatin & penyayang.  Sebab itu, kalau dia berjaya dalam temuduganya, saya & isteri sangat gembira. Memang dia sesuai dengan pekerjaan tersebut.

Yang ketiganya, Noraini bt Abdullah (SMK Paloh, SPM 2006). Masa dia belajar Addmath dengan saya dulu, memang dia kuat usaha. Saya puji kekuatan usahanya. Dia rajin. Dan memang saya puji kerajinannya. Sekarang, beliau belajar di Uitm Machang, Diploma Pengurusan Perniagaan.

Oleh kerana Uitm tu dekat jew dengan rumah saya, maka dia selalu ke rumah saya. Kadang-kadang tidor di rumah saya. Sifat Aini ini sama setiap masa. Masa di SMK Paloh & Uitm Machang, keadaannya tetap tak berubah.   

Orangnya suka ketawa. Kalau ketawa, terkekeh-kekeh. Dia juga suka tersenyum. Kalau tersenyum, senyum memanjang. Sekarang Uitm tengah bercuti. Dan pada waktu begini, beliau suka mengambil pengalaman berniaga.

Aini ini adalah adek kepada Wani. Kalau kedua-duanya bercuti serentak,  kedua-duanya akan berkerja sambilan di sebuah restoren di Gua Musang. Restoren Tomyam GM. Saya puji sikap sedemikian. Belajar berniaga serta mempelajari teknik pengurusan adalah langkah pertama mencipta kejayaan dalam perniagaan.

Kalau saya & family ke Cameron Highland & kebetulan mereka berkerja sementara di situ, biasanya kami akan singgah dalam perjalanan pulang. Sedapnya makan tomyam di situ. Isteri saya biasanya akan puji melangit. Saya tahu, kalau dia memuji, tentu tomyam itu sedap giler. Terima kasih daun keladi. Kalau boleh, kami nak makan lagi.

Yang keempatnya, Siti Maryam binti Ismail (SMK Paloh, SPM 2006). Kalau dalam fb, kadang-kadang dia pakai nama Qhuswatul Hasanah (Contoh yang baik), tetapi kadang-kadang pakai nama Cik Yam sahaja.

Semasa saya mengajar Addmath dulu, dia jarang bercakap dalam kelas. Dia diam sahaja dalam kelas macam tak ada mulut. Perangai dia berbeza sikit daripada Aini. Kontras. Tetapi kalau dia bercakap, sebijik pun dah banyak makna. Bernas. Berisi.

Sekarang Siti dah berada di tahun akhir degreenya di UTM Skudai. Johor. Saya pun dah lama tak tengok dia. Masa saya mengajar di SMK Paloh dulu, beliau & rakan-rakan selalu ke rumah saya bertanyakan hal pelajaran.  Sekarang, kami hanya berjumpa dalam fb sahaja.

Masa dia praktikal di KB baru-baru ini pun, saya tak sempat melawat dia. Saya sibok, dia pun sibok. Saya pun dah usik dia supaya beli kereta cepat-cepat. Bila berkerja nanti, kereta mesti diutamakan. Hmm.

Anak angkat saya yang kelima ialah Nor Baini bt Mat Saat (SMK Paloh, SPM 2007). Eh, perempuan semua ke? Taklah. Yang lelaki pun ada juga. Cuma tak sampai gilirannya lagi.

Nor Baini sekarang belajar di Tahun 2 UMT, Degree Bio Kimia. Pada saya, semenjak saya kenal dia, Baini memang cekal orangnya & sangat akrab dengan saya. Dia pun mudah mendengar nasihat. Kalau ada apa-apa, dia selalu menghubungi saya & Umi meminta nasihat.

Baini juga selalu datang ke rumah saya bersama anak-anak saya yang lain. Kalau nak disebutkan di sini, tak terkira jumlahnya. Zaki Ghani, Hafizuddin, Azrel, Hisyam, Zaharif, Nurul Haszira (sekarang dah jadi jururawat), Ain Ahmad, Sanipah dan sebagainya.

Semenjak saya tinggal di Machang ni, hubungan saya dengan Baini & anak-anak saya yang lain tu tak pernah putus. Hampir setiap tahun mereka datang berjumpa saya. Tradisi saya mudah sahaja. Saya akan serahkan dapur kepada mereka pada hari tersebut. Mereka uruskan segalanya.

Sebenarnya. saya adalah guru kelas 5 Intan 2007 di SMK Paloh. Saya anggap semuanya adalah anak-anak saya yang tersayang.  Tetapi dalam ramai-ramai pelajar saya, Zaki Ghani tak pernah melupakan saya semenjak saya berpindah ke Machang. Dia selalu menziarahi saya bersama Hafizuddin, Azrel, Hisyam & Zaharif.

Mereka adalah anak-anak saya yang tak pernah melupakan saya. Dulu, mereka sanggup bermotorsikal dari Paloh semata-mata untuk menziarahi saya. Sekarang mereka berkereta pulak. Hafizuddin (berkerja di Shah Alam) dah ada Myvi baru.

Ikatan rindu di antara saya dan mereka tak pernah putus walau pun sudah 4 tahun saya berada di Machang. Hampir setiap tahun mereka datang. Terima kasih semuanya kerana sudi datang.  Payah sebenarnya untuk menemui anak murid yang seperti mereka.

Zaki sekarang di tahun 3 IPG Jitra Kedah, Azrel (dah berkerja di Kelang, Selangor), Hafizuddin (dah berkerja di Shah Alam) manakala Hisyam & Zaharif pulak sedang bergelut dengan pengajian masing-masing. Saya sengaja menceritakan mereka by group, kerana bila mereka datang, mereka selalu datang bersama & tidak pernah berpisah.

Kadang-kala juga, Baini akan datang ke rumah saya bersama Nurul Haszira, Ain Ahmad, Sanipah dan lainnya. Ini pun anak-anak saya juga. Nurul Haszira tu memang suka tersenyum sejak kecil lagi. Ada lesung pipit pulak tu. Dan keistimewaan dia yang paling ketara ialah suka berbaju kurung. Memang dia nampak cantik begitu.

Saat dia pergi ke rumah saya, orang-orang tua di tempat saya selalu memujinya. Bagus budak ni, cantik perangainya, manis senyumannya, anak sapa ni. Maka isteri sayalah yang akan menceritakan segala-galanya. Nurul Haszira itu pun pandai memasak, macam emaknya juga. Pandai buat nasi dagang.

Ain Ahmad (nama seenarnya Norain Ahmad) juga anak angkat saya. Kulitnya putih melepak macam telur. Sekarang belajar di Kolej Kejururwatan Pulau Penang. Mak ayahnya tinggal di Kg Awah, Temerloh, Pahang. Tetapi dia tinggal dengan datuknya sejak kecil di RKT Paloh 1.

Ain ini tak ada mulut (maksudnya pendiam), sama seperti Siti Maryam yang saya sebutkan sebelum ini. Dia cuma bercakap bila perlu. Tetapi dia rajin belajar. Diapun tak ada perangai dalam kelas.

Sanipah itu pula “happy go lucky”. Jarang saya tengok Ipah (nama panggilannya) ni bersedih. Umi suka dengan perangainya, sebab umi sendiri pun jenis “happy go lucky”.

Sebenarnya, masih ada lagi anak-anak saya yang belum saya ceritakan. Sebab itu kisah ini kena buat sampai 5 siri. Pasal anak-anak saya dalam kelas 5 Intan 2007 pun belum habis lagi. Itu belum lagi, tahun 2008, 2009 dan seterusnya. Itu belum lagi merangkumi anak-anak angkat saya  di SMKH2.

Menjadi ayah angkat (abah) kepada mereka menjadikan saya lebih dewasa dalam pemikiran & tindakan. Saya suka mendengar kisah mereka, pahit manis kehidupan mereka, masalah study mereka, masalah kerja mereka dan sebagainya.

Kadang-kadang saya kena jadi kaunselor. Kadang-kadang saya kena jad ustaz. Mesej mereka kepada saya ada pelbagai macam cerita. Tetapi saya mempunyai soerang isteri yang prihatin. Dia tahu semua anak-anak angkat saya, tahu pulak nama mereka & tahu pulak kebanyakan kisah mereka. Dia ibarat umie kepada sekian ramai anak-anak saya.

Walau bagaimanapun, tidak semua kisah anak angkat saya diketahui isteri saya. Setengahnya terlalu rahsia (secret) sehingga saya terpaksa bermunajat seorang diri kepada tuhan. Kalau terlalu sulit, depa selalu berkata begini kepada saya. Abah jangan beritahu sesiapa deh, walaupun pada Umi. Janji.

Sekian dahulu. 23.11.2012     9.50 pm

No comments:

Post a Comment