BUNGA NAN INDAH

Monday, 26 November 2012

ANAK-ANAKKU, PUTRA-PUTRIKU (SIRI 3)



ANAK-ANAKKU, PUTRA-PUTRIKU (SIRI 3)
Sudah 2 siri saya publish tentang anak-anak saya. Dah 20 orang saya ceritakan kepada pendengar. Sebenarnya tidak ada apa-apa keistimewaanpun tentang mereka. Mereka hanya bekas pelajar saya. Kalau istimewapun, mereka sangat baik kepada saya. Itu sahaja.

Saya pun tidak ada apa-apa keistimewaan. Saya hanya sekadar guru Addmath. Pernah marahkan mereka, denda mereka, luku (sekeh) kepala mereka dan sebagainya. Sampai sekarangpun, saya masih marahkan mereka kalau ada tak kena di mana-mana.

Ya ke ni? Memang ya. Tetapi marah sekarang ni “marah berkiaslah”. Depa pun dah besar panjang. Dah faham bahasa isyarat, bahasa kiasan.   

Berbalik kepada cerita saya tadi, kalaupun ada keistimewaan saya terhadap mereka, ianya terletak pada pintu rumah saya. Pintu rumah saya sentiasa terbuka 24 jam untuk mereka. Mereka boleh datang siang atau malam. Bila-bila masa sahaja mereka suka. Nak tanya hal pelajaran pun boleh, nak sembang-sembang pun boleh.

Di rumah, saya buang watak sebagai guru. Saya pakai (applikasi) watak seorang ayah, seorang abah, yang boleh berbual secara santai dengan mereka, bergelak ketawa bersama & minum air tea cicah biskut  bersama. Itulah saya sebenarnya.

Untuk siri (3) ini, saya hendak mulakan dengan anak kesayangan saya, Nasmanizan Nasir (SMK Paloh, SPM 2007). Kami panggil dia Abang Long sahaja. Selepas SPM, dia berjaya masuk Poly Kulim & sekarang berkerja di Bandar Ciku. Dia pun dah ada kereta. Alhamdulillah. Sebab itu, kalau Baini, Ainul, Aida & anak-anak saya yang lain nak menziarahi saya, pergerakan mereka menjadi semakin mudah. Kereta Abang Long ada. Kalau kebetulan Sani atau Sudin ada bercuti, kereta mereka pun dapat digunakan juga.

Saya puji sikap Abang Long. Dia memang keras semangat & tidak berputus asa. Masa dia SPM, Addmath dia sangat lemah sehingga saya pun bimbang mengenainya. Tetapi dia kuat berusaha sehingga akhirnya  dia lulus. Bahkan di luar dugaan saya, dia dapat masuk Poly & mendapat kursus yang dia cita-citakan.

Bukan itu sahaja kelebihan Abang Long. Dia juga anak yang baik &  berbakti kepada ibubapanya. Ke manapun saya pergi, saya selalu menjadikan  Abang Long sebagai contoh “Anak Yang Berbakti”. Saya mengkagumi kemuliaan hatinya. Dan saya juga percaya bahawa kejayaan hidupnya sedikit sebanyak disokong oleh baktinya terhadap orang tuanya.

Ayahnya ada penyakit kencing manis seperti saya. Ibunya juga. Sebab itu saya gembira bila Abang Long dapat kerja di Bandar Ciku. Dia dapat membantu ayah ibunya & merawat mereka. Kalau Abang Long dapat beli Raja Herba (penawar Kencing Manis)  RM33 sebotol, lagi bagus. Ubat itu baik untuk diebetis & darah tinggi.
   
Anak saya seterusnya, Marihah Mamat (SMK Paloh, SPM 2007). Inilah anak saya yang paling rapat & akrab dengan saya. Ihah (nama panggilannya) dah di tahun Akhir UUM. Masa dia belajar Matrikulasi dahulu, saya selalu meleterinya sebab terlalu aktif berpersatuan. Bila masuk UUM, sibok juga. Sakan saya marahkan dia. Saya takut dia tercicir dalam pelajaran akibat terlalu aktif berpersatuan.

Nasib baik dia dengar nasihat saya. Masa dia di tahun ketiga & keempat, dia dah mula reda sikit. Lega sikit hati saya. Dia dah mula serius belajar.  Tetapi bila dia sibok atau tertekan dengan study, dia suka menyepi pulak. Dia off handset & langsung tak buka fb. Saya langsung tak tahu perkembangan dirinya. Hiss, mana budak ni?

Tentu ramai tertanya-tanya, mengapa saya terlalu mengambil berat pasal Ihah?. Saya nak buka satu rahsia. Semua orang tak tahu. Ihah pun tak tahu. Selepas SPM 2007, saya bersolat istikharah kepada Tuhan minta DIA tunjukkan pelajar-pelajar yang sesuai jadi anak angkat saya. Nama Ihah No 1, diikuti nama-nama lain. Sebab itulah, saya menyayangi Ihah. Tuhan yang tunjukkan namanya.

Kelebihan Ihah pada saya ialah dia cepat-cepat minta maaf kalau dia tahu dia bersalah. Dia pun cepat sejuk kalau saya meminta maaf. Ihah dah 2X menziarahi saya semenjak saya mengajar di Machang. Kali pertama dia datang dengan kakaknya pada 2009. Kali kedua pada tahun 2011 semasa dia dalam perjalanan ke UUM.  Umi sangat sayangkan Ihah. Katanya, Ihah budak baik, budak lembut.
    
Anak saya yang ketiga ialah Nor Hasyemah bt Malek (SMK Paloh, SPM 2008). Dia sekarang belajar di IPG Bangi, Tahun 2  dalam jurusan TESL.  Baru-baru ini, beliau datang menziarahi saya bersama Nik Shahida Badriah (IPG Perlis, Tahun 2, TESL juga). Shahida itu pun anak saya juga.

Kedua-duanya sama kecil, sama saiz. Cuma bezanya, Syimah (nama ringkas Hasyemah) suka ketawa & Shahida agak serius.  Saya teringat semasa mereka T5 dahulu, kedua-duanya scorer Addmath. Kalau Shahida dapat 85, Syimah pulak biasa dapat 80. Kadang-kala berlaku sebaliknya. Syimah itu pun hebat juga orangnya.

Yang paling menghairankan saya, kenapa mereka dapat kursus TESL di IPG? . Saya sebenarnya bercita-cita nak tengok Syimah jadi doctor. Biar terkenal sebagai Doctor Hasyemah dari Paloh, Gua Musang.

Shahida itu pula sesuai jadi ustazah. Tetapi oleh kerana dia pandai (brilliant) dalam Sains Tulen, saya bercadang nak tengok dia jadi engineer. Dia memang sesuai jadi engineer. [1] Sebab dia pandai Sains Tulen & Addmath, [2] Dia tu serius & [3] dia berbakat sebagai engineer.

Walau bagaimanapun, depa pun sesuai juga jadi Guru BI. Tetapi kena bengkeng sikit la. Syimah tu, kena control sedikit ketawanya  dalam kelas. Bimbang budak-budak tak takut.  Budak-budak zaman sekarang ni lain sikit perangainya.
        
Anak saya seterusnya ialah Rosemaiza bt Senain (SMK Paloh, SPM 2008). Sekarang di Tahun 2, Kolej Kejururawatan Sg Buloh (?). Masa saya mengajar Addmath di kelasnya dulu, dia sederhana sahaja pencapaiannya. Saya pun hairan mengapa Maiza ini tak meningkat. Apa hal budak ni?

Saya  & umie kemudian pergi ke rumahnya. Ibunya sekampung dengan isteri saya di Labok. Saya suruh ibuya memastikan Maiza buat latihan setiap hari. Mesti buat latihtubi (drilling) kalau nak berjaya. Saat itulah, Maiza selalu ke rumah saya bersama rakan-rakannya.

Saya puji kekuatan usaha budak-budak SMK Paloh belajar. Termasuk Maiza yang sedang saya ceritakan ini. Depa tak pergi belajar tuition sebab jauh. Gua Musang 50 km ke Selatan. Kuala Krai 68 km ke Utara. Depa hanya mengharapkan kelas tambahan yang saya buat. Biasanya saya buat Hari Jumaat (8.00 – 12.00 pm) & (3.00 – 5.00 pm). Hari Sabtu, saya rileks. Bawa family jalan-jalan cari makan.

Kalau depa ada masalah, depa pergi rumah saya. Bertanyakan hal pelajaran atau apa sahaja. Malam atau siang, saya tak kisah. Yang penting, depa nak belajar.

Macam dijanjikan, saya baru sahaja terima sms dari Maiza sebentar tadi. Katanya, dia dapat pointer 3.30 untuk sem lepas. Alhamdulillah. Keputusan yang baik. Mudah-mudahan, keputusannya terus cemerlang sehingga tamat pengajian.

Kenapa asyik cerita pasal anak-anak saya di SMK Paloh sahaja? Kat SMKH2, dah habis dah ke? He2. Anak saya yang berikutnya di SMKH2 ialah Ayu Norhawa. (SPM 2010). Tentu anda tertanya-tanya, bagaimana dia boleh begitu akrab dengan saya, padahal saya tak mengajar Addmathpun padanya?

Saya tak kisah tentang itu. Anak saya boleh datang dari mana sahaja. Kalau dia cukup sifat, cukup syarat, apa salahnya menjadi anak angkat saya?

Memang benar saya tak mengajarnya Addmath. Tetapi dia pernah menjadi Timbalan Pengerusi Kelab Rukun Negara semasa saya menguruskannya. Dia cekap & berkebolehan. Saya puji cara dia berkerja.

Waktu malam, bila saya ada kelas tambahan Addmath di kelas 5 Sains, dia selalu bawakan saya burger. Macam dia tahu saya ini minat makan burger. Alhamdulillah. Baik sungguh hati dia. Bila saya tanya, burger dari mana? Katanya, abangnya yang buat. Hmmm. Boleh tahan sedapnya. Terima kasih.

Dia jadi anak saya bukan kerana burger yang dia beri, tetapi kerana kebaikan hatinya. Sebab itu, saya cukup cerewet tentang seseorang kecuali bila saya dah tahu tentang hati budinya.
Sekarang ini, Ayu sedang belajar di Tahun 2 Uitm Seberang Prai. Tetapi dia selalu merunggut pasal subjek perakaunan yang dia ambil. Katanya, payah giler. Saya teringat cerita saya semasa di UPM. Saya pun tak minat subjek akaun ni. Lebih payah daripada Addmath yang saya ajar sekarang ini.

Saya berikan dia beberapa tips untuk mengatasi masalahnya. [1] Beli buku rujukan perakaunan SPM, belajar asasnya secara detail, [2] banyakkan latihan, [3] buat semua tutorial yang diberikan pensyarah, [4] mendekati pensyarah untuk mendapat lebih kefahaman & [5] banyakkan solat hajat memohon pertolongan tuhan.

Sekarang ini Ayu sedang bercuti semester. Kebiasaannya dia akan datang ke sekolah berjumpa saya & guru-guru yang mengajarnya. Kebetulan sekarang, cuti sekolah. Tak apalah. Tahun depan, insyaallah, jumpa lagi.

Sekian dahulu. Kita berhenti di sini dahulu. Masih ada beberapa orang lagi anak saya yang belum diceritakan. Tunggu siri  berikutnya. SELAMAT MEMBACA


26.11.2012    4.58 PM

No comments:

Post a Comment