BUNGA NAN INDAH

Saturday, 17 December 2011

RESIPI KEJAYAAN DALAM ADDMATH(1)

Ramai pelajar saya cuba mengorek rahsia kejayaan saya. Bagaimana cikgu belajar masa dulu??? Bagaimana cikgu boleh ingat beratus-ratus formula di dalam kepala cikgu??? Bagaimana cikgu boleh menyelesaikan masalah Addmath dengan cepat, dengan sekali lihat sahaja??? Bermacam-macam hal mereka tanyakan pada saya. Semuanya menunjukkan kekaguman terhadap diri saya. Saya tersenyum sahaja. Sebenarnya tidak ada apa-apapun yang pelik. Saya hanya cuma budak kampung sahaja. Daya intelek sayapun pada tahap sederhana sahaja. Bukan geniuspun.

Baiklah saya akan ceritakan. Saya mulakan dengan resipi pertama dahulu.  

SAYA MENCINTAI MATEMATIK. Itulah sebenarnya resipi pertama saya. Perkataan CINTA itu menggambarkan minat saya yang betul-betul mendalam padanya. Saya pantang berjumpa dengan soalan matematik. Kalau berjumpa, saya akan cuba untuk  segera menyelesaikannya. Kalau tajuk soalan itu dah saya pelajari, saya akan selesaikannya secepat mungkin. Kalau belum dipelajari lagi, saya akan simpan dahulu soalan tersebut sehigngga sampai waktunya.

PENGALAMAN 1 : Semasa saya belajar di Maktab Sultan Ismail / Sultan Ismail College (1978-1981), saya pernah terjumpa secebis soalan Addmath di atas rumput. Hanya satu soalan sahaja. Seingat saya, soalan persamaan dari tajuk TRIGONOMETRI Tingkatan 5. Saya mengambilnya dan menciumnya berkali-kali. Saya benar-benar menyayanginya.  Soalan itu mungkin terjatuh kot. Ntah r. 

Kebetulan tajuk itu sudah saya pelajari. Maka saya segera menyelesaikannya. Kemudian bila saya berbincang bersama rakan tentang jawapannya, memang jawapan saya betul. Alhamdulilah,. saya jadi tambah bersemangat.

Kemudian soalan itu saya ubahsuai sehingga menjadi beberapa soalan lagi. Saya hanya tukar anu (variable)nya. Alhamdulilah, saya boleh menyelesaikan semuanya dengan baik. Barangkali kerana berkat saya mencium dan mengasihi soalan pertama itu tadi, maka kefahaman saya & semangat saya terus bertambah-tambah. Dan sehingga sekarangpun, kenangan itu masih melekat di jiwa saya. Sebuah pengalaman yang indah dan cantik.   .

KONTRA MASA SEKARANG : Saya melihat ramai pelajar sekarang suka membuang nota pelajaran (tak kira nota panjang / ringkas) di merata2 tempat. Mereka semacam tidak menghargai dan meyayangi ilmu yang mereka pelajari. Itu sangat menyalahi adat orang belajar dan sangat berbeza daripada trend  pelajar-pelajar di zaman saya.  Keberkatan hanya terhasil jika kita menghargai sesuatu. Ada sesetengahnya meletakkan buku di bawah, sama paras dengan kaki mereka. Inipun tak sopan dan boleh  menghilangkan keberkatan ilmu yang dipelajari.. Ibu saya sangat pantang tentang perkara tersebut. Kalau dia tahu, segera dia meleteri saya. Sayapun pantang juga. Cukup benci.

Lebih teruk lagi sekarang, ada yang membuang buku teks, buku rujukan dan kertas soalan peperiksaan (PMR &, SPM) di merata2 tempat. Pada saya, itu sangat biadap & langsung tak mengetahui adab-adab sopan belajar ilmu. Apa nak jadi sebenarnya??? Kuat perasaan saya untuk mengatakan bahawa mereka sebenarnya tak patut berada di bangku sekolah. Berikan mereka kerja yang sesuai. Kerja itu lebih berfaedah untuk mendidik mereka menjadi manusia SEDAR. Maksud saya, inilah kerja yang SEPADAN dengan kamu yang malas belajar dan TIDAK MENGHORMATI ILMU.    .   .  


PENGALAMAN 2 : Pada tahun 1979, saya pernah membeli sebuah buku kerja Addmath yang bersaiz sederhana dan berkulit nipis. Lebih kurang semacam buku Easymath, terbitan Guru Cemerlang En Mohd Nor Ishak yang popular itu. Kat mana saya beli, sayapun dah lupa. Tetapi buku itu amat saya sayangi. Saya gunakan buku itu semaksimum dan seoptimum mungkin. Habis semua latihan di dalamnya saya bantai. Tidak tersisa satupun. Kemudian saya ulangi lagi membuat semua latihan di dalamnya. Berulang-ulang lagi, sehingga saya lupa entah berapa kali. Buku itu jadi lusuh kerana terlalu kerap digunakan. Di dalamnya penuh dengan contengan formula dan jalan kerja saya.

Tetapi saya bangga dengan kelusuhan & contengan itu. Memang saya menyanyangi buku itu. Tetapi ia hilang entah ke mana. Mungkin kerana saya terlalu kerap berpindah semenjak menjadi guru ini.

KONTRA MASA SEKARANG : Mereka membeli buku rujukan atau buku apa sahaja. Tetapi mereka tidak menggunakannya sekuat daya mereka. Buku itu kelihatan cantek sahaja. Bersinar dan bercahaya seperti cermin yang tidak terusik. Bila sebenarnya, mereka menggunakan buku itu??? Pelajar-palajar zaman sekarng relatifnya sangat manja. Buku tekspun tidak digunakan sepenuhnya. Latihan-latihan di dalamnya tidak dibuat seperti di zaman saya. Sepatutnya mereka berusaha menggunakan buku itu sehabis daya mereka. Lebih teruk lagi, latihan / skill practice yang cikgu suruhpun, tak buat juga. Teruk betul.  Pemalas. Macam mana nak berjaya.   


PENGALAMAN 3 :Guru Matematik Moden saya bernama En Farid, manakala guru Matematik Tambahan saya pulak bernama En Wahid. Kedua-duanya  berambut kerinting. En Farid itu kecil sikit orangnya, tetapi En Wahid itu berbadan besar dan sasa. Saya diajar oleh kedua-dua ibubapa saya supaya menghormati guru pada setiap masa, setiap ketika & setiap tempat. Kata ibu saya, guru adalah manusia suci (maksudnya, berhati suci) yang penuh berkat. Kerana itu, saya sangat meyayangi kedua-dua guru saya di atas dan juga para guru yang lain. Saya tidak pernah memberontak terhadap mana-mana guru saya, membenci mereka walaupun sekelumit,  menyumpahi mereka dengan kata-kata yang tidak sopan atau berniat buruk terhadap mereka. Mereka adalah manusia suci yang penuh berkat pada saya. Merekalah mutiara hidup saya dan pujaan hati saya, selain kedua-dua ayah bonda saya.

Bila saya menjadi guru seperti sekarang, barulah saya tahu nilai kasih sayang seorang guru terhadap murid-muridnya. Semua guru mempunyai sikap mulia seperti itu. Mereka mengajar tanpa pilih kasih, tanpa mengira penat dan lelah, tanapa mengira bangsa dan darjat, tanpa mengira jantina / gender, tanpa mengira status atau kedudukan murid. Mereka mengambil sikap adil untuk memberi yang terbaik kepada pelajar-pelajar mereka. Sayapun sama. Saya tidak suka pilih kasih. Saya memuji & mengasihi sesiapa sahaja yang baik & mendengar kata. Dan dalam menghukum pelajar,  saya juga tidak pilih kasih. Sesiapa sahaja akan saya marahi tanpa mengira siapa dia. .

Sebab itu, saya menyeru kepada semua pelajar saya, bekas-bekas pelajar saya dan semua pelajar di seluruh Malaysia, kasihilah guru anda, muliakanlah mereka & sayangilah mereka. Mereka memberikan kamu ilmu untuk menjadikan kamu pandai dan berjaya di dalam hidup. Pulangan kesenangan bukan untuk MEREKA, tetapi untuk KAMU semata-mata. Bersandarkan kepada sabdaan Nabi Muhammad S.A.W, yang maksudnya (l.k) RENDAHKANLAH DIRIMU KEPADA ORANG YANG MENGAJAR KAMU,  maka fahamlah kita bahawa semakin kita menghormati guru kita, maka semakin berkatlah hidup kita. Insyaallah.

Sebab itulah, saya menyeru kepada semua, CINTAILAH ILMU, CINTAILAH BUKU SEBAGAI MEDIUM ILMU, CINTAILAH GURU YANG MEMBERIKAN KAMU  ILMU.

Semoga Tuhan merahmati & memberkati kita semua. Amin.



Disiapkan pada 16.12.2011   6.05 am
UNTUK MEMBERI KOMEN / RESPONS, SILA PILIH "COMMENT AS" DI BAWAH SEBAGAI ANONYMOUS ATAU NAME / URL. TAIP NAMA ANDA & ABAIKAN URL. TQ.

No comments:

Post a Comment