BUNGA NAN INDAH

Friday, 9 March 2012

CIKGU CHE MUSTAFFA BIN YAAKOB [LANJUTAN]

Hari ini Khamis, 8/3/2012. Baru dua hari Cikgu Pa meninggalkan kita.

Tadi, hari terakhir persekolahan sebelum kita semua bercuti selama seminggu. Hari ini, Kelab Warga SMKH2 mengadakan pot luck (jamuan berselerak) di bilik guru. Ada satay, puding, mee hon, kek dan sebagainya. 

Seronok kami menikmati hidangan yang disediakan. Sedap belako. Terima kasih kepada Pengerusi Kelab Warga, Ustazah Wawa
.

Saya mencapai sepiring kueh dan duduk di sofa di tempat kebiasaan saya. Dalam waktu saya memakan kueh, saya terbayang kepada kerusi di hadapan saya. Di situlah biasanya Cikgu Pa duduk.

Saya termenung sebentar. Terbayang pada saya wajahnya, matanya, keningnya, hidungnya, mulutnya & dagunya. Terbayang juga pada saya senyumannya yang manis. Terbayang juga pada saya ketawa kecilnya yang mengengkek manja. Saya jadi sedih. Hati kecil saya menangis. 

Pada saat beliau masih ada, beliau akan girang makan bersama kami. Beliau selalu menyebut "sedap wei, terima kasih belako wei",

Saya selalu membahasakan beliau dengan panggilan Abang Pa. Satu panggilan hormat kerana beliau lebih tua daripada saya. Menurut perkiraannya, kalau beliau masih ada, tahun ini beliau akan pencen pada umur 58 tahun. 

Sekarang beliau sudah tiada. Sudah berpindah ke alam barzah.  Bagaimanakah keadaan Cikgu di sana???

 
Liang lahad adalah terowong yang menghubungkan alam syahadah (alam dunia) dengan alam barzah. Saya biasa turun ke dalam liang lahad menyambut mayat.

Saya juga mempunyai pengalaman meletakkan mayat menghadap kiblat. Dan saya juga berpengalaman merasai sempitnya liang lahad untuk menempatkan sekujur tubuh yang bernama mayat. Aduhai. Bagaimanakah keadaan Cikgu di sana???

Kita yang masih hidup bebas bergerak ke sana ke mari. Sekejap berjalan,  sekejap berlari.  Kadang-kadang ke sana ke mari, memandu kereta.

Bila memandu kereta pulak, sekejap ke asrama, sekejap ke BSN, sekejap ke LUTH, sekejap ke pasar, sekejap SMK Machang dan sebagainya. Kita menderum kereta kita dengan gembira.  Bagi yang telah mati, mereka sudah berpindah ke alam barzah. Satu alam lain yang terasing dari kita.

Kata guru agama yang mengajar, ada 5 keadaan di alam barzah. 

[1] Kegelapan alam kubur. Keadaan gelap yang segelap-gelapnya. Tidak ada lampu, tidak ada lilin, tidak ada cahaya. Kiri gelap, kanan pun gelap. Hadapan gelap, belakang pun gelap. Atas gelap, bawah pun gelap. Gelap semuanya. Gelap segelap-gelapnya. Bagaimanakah keadaan Cikgu di sana???

Saat kami bersama dahulu, kami biasa bercakap tanpa basa basi. Kalau kami berjumpa di kantin, kami akan bergelak ketawa di kantin. Kalau kami berjumpa di bilik guru, kami akan bergelak ketawa di bilik guru

Kami, guru-guru yang terkena penyakit gout, biasa menamakan beliau sebagai Pengerusi Kelab Gout (PKG). Saya pulak Timbalannya. Cikgu Radzuan pulak Setiausahanya. Selepas bergurau, kami ketawa. Hubungan kami macam adek beradek. Sangat rapat, sangat akrab..

Ya Allah Ya Tuhan kami, saksikanlah bahawa kami bersilatturahmi keranaMu semata-mata. Kasihanilah dia di alam kubur. Sinarilah kuburnya dengan berkat persahabatan kami. Berilah cahaya kepada kuburnya. 

Wahai anak-anakku, itulah gurumu yang sedang berada di dalam kegelapan di alam kubur. Hadiahkanlah Ayat-Ayat Suci Al-Quran untuknya. Paling tidak, kamu bacalah Al-Fatihah atau Al-Ikhlas untuknya. Kasihan padanya yang keseorangan di sana.

Mudah-mudahan bacaanmu menjadi nur (cahaya) untuknya di sana.

[2] Kehadiran dua orang malaikat,  Mungkar dan Nakir. Wajah mereka menakutkan. Tak ada siapa pun yang sanggup memandang wajah mereka. Suara mereka seperti halilintar. Tak ada siapa pun yang sanggup mendengar suara mereka. Mungkar bertanya dengan suara garang. Nakir pula siap dengan cemeti di tangan. Bagaimanakah keadaan Cikgu di sana???

Saat kami bersama dahulu, wajahnya selalu manis kepada kami. Tidak pernah dia masam mencuka kepada saya dan rakan-rakan guru yang lain. Saya pulak selalu serius 24 jam. Cikgu Radzuan pun sama. Kami tak pandai senyum.

Suaranya pun lembut. Halus manis macam gadis pingitan yang sopan & terpelihara. Sebab itu Cikgu Pa selalu diminta sebagai pengacara majlis (MC) untuk majlis-majlis besar di SMKH2.. Dia mempunyai pakej suara yang sangat baik.

Ya Allah Ya Tuhan kami, layanilah dia dengan baik di alam kubur, berkat senyum manisnya kepada kami. Santunilah dia dengan lembut di alam kubur, berkat suaranya yang lembut terhadap kami. 

Wahai anak-anakku, kasihilah gurumu yang keseorangan di sana. Hantarkanlah kepadanya pahala bacaan Yassin pada saat kau membacanya setiap malam Jumaat. Jangan sesekali lupa kepadanya.

[3] Himpitan kubur yang dahsyat. Setiap orang tidak terlepas daripadanya. Bagaimanakah keadaan Cikgu di sana???

Saat kami bersama dahulu, kami selalu berbincang pasal akedemik. Kebetulan beliau adalah Ketua Panitia Sivik & Kewarganegaraan (PSK). Saya pula salah seorang guru PSK. Saat saya menghadapi masalah, saya selalu merujuk kepada beliau.

Beliau seorang yang lembut hati. Mudah menolong rakan sejawat.

Ya Allah Ya Tuhan kami, saksikanlah bahawa beliau sangat baik kepada kami. Lepaskanlah dia dari himpitan kubur berkat pertolongannya kepada kami.    

Kami redai dia sebagai sahabat kami yang baik, maka redailah dia, Ya Allah. Kasihanilah dia. Ampunilah dia.

Wahai anak-anakku, kasihilah gurumu yang berada seorang diri di sana. Bagaimanakah keadaannya di sana??? Sentiasalah berdoa untuknya. Mudah-mudahan doamu yang ikhlas dapat menolongnya di sana.
.
[4] Kedatangan ular Suja'ul Aqra yang memburu sesiapa sahaja yang mengabaikan solat. Bagaimanakah keadaan Cikgu di sana???

Saat kami besama dahulu, kami selalu menyaksikannya mendirikan solat zohor di surau bersama pelajar. Bahkan saya juga biasa menyaksikannya bersolat jemaah di Masjid Al-Ihsan, Machang.

Bahkan sebelum kematiannya, dia sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat Isyak. Dia sedang berada dalam keadaan keimanan kepadaMu, Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan kami, saksikanlah bahawa dia seorang lelaki yang soleh, yang baik, yang selalu mengerjakan solat untukMu. Lindungilah dia daripada ular Suja'ul Aqra.

Berikanlah dia ketenangan & keselamatan di dalam kubur. Kasihanilah dia. Ampunilah dia.

Wahai anak-anakku, ingatkah kamu bahawa sewaktu dia mengajar kamu dahulu, dia selalu memberi nasihat kepadamu.

Katanya, JADILAH PELAJAR YANG RAJIN. Ambillah nasihatnya. Amalkanlah nasihatnya. Kalau kamu semua menjadi pelajar yang rajin & bersungguh-sungguh belajar, maka sesungguhnya kamu telah menolong dia di dalam kubur. Pahala perbuatanmu akan sampai kepadanya.

Katanya, JADILAH ANAK YANG BAIK. Ambillah nasihatnya. Amalkanlah nasihatnya. Jadilah kamu, anak yang baik & bertanggungjawab kepada kedua-dua ibubapamu.

Tunaikanlah hasrat mereka. Sampaikanlah hajat mereka. Pandanglah wajah mereka sepenuh kasih sayangmu. Insyaallah, segala perbuatanmu akan memberikan pahala kepadanya di sana.
   
Begitulah, kalau kamu sayang kepada beliau yang sudah meninggal dunia

[5] Kedatangan ular, kala, jengking dan sebagainya. Alam kubur adalah alam yang penuh dengan penyeksaan. Kata ustaz yang mengajar, alam kubur itu mungkin salah satu lubang dari lubang-lubang neraka. Mungkin juga salah satu kebun dari kebun-kebun shurga. Bagaimanakah keadaan Cikgu di sana???.  

Saat kami bersama dahulu, Cikgu Pa adalah guru yang sangat baik. Bahasanya lembut. Tutur katanya baik. Budi pekertinya elok. Pergaulannya mesra.

Ya Allah Ya Tuhan Kami, saksikanlah bahawa kami tak pernah melihatnya melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar kepadaMu. Dia lelaki soleh. Dia juga lelaki yang baik. Dia juga lelaki yang penuh tanggungjawab. Kasihanilah dia. Ampunilah dia.  

Wahai anak-anakku, contohilah perangainya yang soleh, yang baik, yang penuh tanggungjawab. Saat kamu pergi ke mana sahaja, atau ingin berbuat apa sahaja, bayangkanlah dia berada di sampingmu. Hendaklah kamu malu padanya, walau pun beliau sudah tiada lagi.

Ya Allah Ya Tuhan kami. Kasihanilah Cikgu Pa kami di alam yang sepi. Kasihanilah dia. Ampunilah dia.


Disiapkan pagi Jumaat, 9.3.2012     8.01 am
UNTUK MEMBERI KOMENTAR / RESPONS, PILIH 'COMMENT AS' DI BAWAH SEBAGAI ANONYMOUS ATAU NAME / URL. TAIP NAMA ANDA & ABAIKAN URL. TQ 

No comments:

Post a Comment