BUNGA NAN INDAH

Wednesday, 7 March 2012

CIKGU CHE MUSTAFFA BIN YAAKOB [DALAM KENANGAN]

Jam menunjukkan pukul 10.52 pm. Saat saya hendak merebahkan badan untuk tidor, tiba-tiba Cikgu Shamsudin (PK HEM) menelefon saya. Dia mengajukan saya sebuah soalan yang berat.

 Betul ke Cikgu Pa (maksudnya, Cikgu Che Mustaffa bin Yaakob) meninggal dunia???

Saya terpegun sebentar. Bila??? Saya belum menerima khabarnya.

Saya kemudian menelefon Cikgu Zul (maksudnya Cikgu Zulkifli Awang). Tetapi panggilan saya tidak bersambut. Dah tidor ke dia ni??? Jam sekarang pukul 10.55 pm. Memang dah waktu tidor.

Saya kemudian menelefon Cikgu Haizom untuk bertanya khabar. Terkejut dia mendengar soalan saya. Dia pun tak pasti.

Dia berjanji untuk menelefon Cikgu Adnan. Kemudian dia menghantar mesej kepada saya. Katanya, Cikgu Adnan pun tak tahu.

Saya panjangkan jawapan ini kepada Cikgu Shamsudin (PK HEM). Berita ini mesti sahih terlebih dahulu sebelum dia datang. Rumahnya relatif jauh dari Machang. Beliau tinggal di Kg Pangkal Kalong, sebuah kawasan terpinggir di Kok Lanas dan lebih kurang 20 km dari Bandar Machang.

Saya pun mengharapkan agar berita ini tidak benar. Boleh jadi ia sebuah khabar angin. 
 
Pagi tadi (Selasa, 6/3/2012), saya sempat berbual-bual dengan Cikgu Pa di bilik guru lelaki.

Wajahnya kelihatan pucat  tetapi saya menyegarkan perasaannya dengan melayannya bercakap.

Banyak perkara yang kami bualkan, terutama sekali tentang makanan.

Kata beliau, sehari dua ini beliau sangat berselera makan nasi. Wifenya menyediakan menu kegemarannya iaitu ikan singgang, budu & ulam.

Hampir menitik air liur saya mendengar ocehannya. Segera terbayang pada saya menu yang sama di rumah saya. Saya juga meminati ikan singgang, budu & ulam pegaga.

Saya pun tidak terfikir kenapa beliau tiba-tiba bercakap seperti itu. Setahu saya, beliau tak pernah turun ke kantin semenjak beliau keluar dari hospital. Kami pun tidak pernah bersembang tajuk itu.  

Sehari sebelum itu, kami juga bercakap. Tajuk kami pada hari tersebut ialah tentang rawatan beliau di Klinik Pakar Dr Ibrahim, Ampang, Kuala Lumpur.

Kata beliau, Dr Ibrahim itu asalnya dari Burma. Saya terpegun sebentar mendengar ceritanya. Rupa-rupanya, ada juga dari negara miskin itu, seorang anak muslim yang genius. Dan kemudian menjadikan Malaysia sebagai lubuk rezeki untuk membina kekayaan.

Tambah beliau lagi, klinik tersebut mendapat sambutan yang sungguh hangat. Walau pun kos rawatannya mahal, tetapi pengunjungnya tetap berpusu-pusu datang. Cikgu Pa merupakan pelanggan barunya. Sudah banyak kali beliau berulang-alik ke sana untuk mndapatkan rawatan. 

Tiba-tiba Cikgu Haizom menelefon saya balik. BETUL. CIKGU PA BARU SAHAJA MENINGGAL.

Saya terhuyung hayang sebentar mendengar kesahihan berita tersebut.

Alangkah mudahnya perpisahan terjadi. Baru pagi tadi kami bersama seperti adek beradek, sekarang kami berpisah dek kematian. Terbayang wajahnya yang lembut, suaranya yang halus, barisan giginya yang putih, pertuturannya yang langka & ketawanya yang manja.

Dia seorang insan yang baik. Dia juga seorang guru yang baik. Dia juga seorang teman yang baik. Payah untuk melihat dia  marah kepada pelajar, apatah lagi menghukum mereka. Pendek kata dia merangkap seorang bapa yang baik & mulia kepada mereka. .

Saya tahu, semua pelajar SMKH2 akan sedih dan menangis kerana kehilangannya. Bersedihlah kerana setiap orang patut bersedih dengan pemergiannya. Menangislah, kerana tangisan anda menandakan anda sangat sayang padanya.  
 
Segera saya meluru ke rumah beliau di Kg Kolam Abu, berhampiran bandar Machang. Para penziarah sudah ramai. Teman-teman sejawat pun sudah ada. Kelihatan Tuan Haji Haris (PK1), Cikgu Zul, Cikgu Haizom & Cikgu Adnan.Masing-masing berwajah sedih & berhati walang.

Saya naik ke atas dan membaca Yassin di sisi mayatnya. Hanya baru pagi tadi, saya bercakap-cakap dengannya. Masih segar butiran percakapan kami. Dan sekarang kami sudah berpisah. Inna lillahi wainna ilaihi rajiuun. Dari Dia kami datang, dan kepadaNyalah, kami semua akan kembali.

Difahamkan beliau terjatuh di dalam bilik air semasa hendak mengambil air sembahyang untuk solat Isyak. Saat anaknya meluru kesana, beliau sudah pun tiada.

Inilah ketentuan takdir. Bertemu dan berpisah adalah suratan Ilahi. Setiap orang pasti akan pergi. Hanya masa & caranya yang berbeza.

Kepada anak-anak pelajar SMKH2, inilah gurumu yang telah berpulang ke hadrat Ilahi.

Cintailah dia dengan sentiasa membacakan doa untuknya. Dia ibarat bapamu. Saat dia hidup, engkau menumpang kasih sayangnya & menghirup ilmunya. Sekarang, balaslah kebaikan hatinya dengan doamu kepadanya.

Jangan lupa nasihat-nasihatnya. Sewaktu kamu belajar sejarah dengannya sewaktu ketika dahulu, tentu ada nasihat-nasihatnya untukmu. Tentu dia berpesan supaya KAMU RAJIN BELAJAR & JADI ANAK YANG BAIK.

Patuhilah nasihat-nasihat tersebut demi masa depanmu. Dia telah menuturkannya dengan penuh ikhlas. Maka amalkanlah juga nasihat-nasihat tersebut seikhlas hatimu.    


Semoga Tuhan memberkati hidupmu dan  menjadikan kamu anak yang baik & pelajar yang baik.

Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah untuknya. AL FATIHAH.  


No comments:

Post a Comment