BUNGA NAN INDAH

Tuesday, 27 March 2012

LEBUHRAYA KARAK

Semasa saya mengajar di SMK Lurah Bilut, Bentong Pahang,  pada tahun 1997 - 2001, Lebuhraya Karak - Kuala Lumpur menjadi laluan saya hampir setiap bulan

Masa itu saya memiliki kereta Mitsubishi, 1600 cc, bernombor pendaftaran WAH 1275.

Saya selalu pergi ke rumah adek-adek saya di Kuala Lumpur. Adek bongsu saya, Zool tinggal di Shah Alam, Seksyen 19.

Manakala adek ipar saya pula tinggal di Kg Sungai Kayu Ara, berhampiran Damansara Utara, dan berhampiran pula dengan Masjid Al-Mujahidin yang masyhur itu.   

Ia juga dekat dengan Damansara Utama Metodhist Church (DUMC) yang kecoh baru-baru ini pasal serbuan MUIS  ke atasnya.
    
Saya cukup sinonim dengan laluan tersebut dan sangat peka dengan keadaan merbahaya pada setiap tempat.

Lebuhraya Karak sangat popular dengan kisah berhantunya. Kalau ikut jalan lama, kisah hantunya lebih menakutkan. Jarang pemandu yang berani menggunakan jalan lama itu, termasuk saya.

Bila Linda (Nuruzaini Haslinda bt Zaimi) post kepada saya tentang kemalangan 2 orang pelajar UNITEM baru-baru ini, saya tersentak sebentar.

Kemalangan tersebut berlaku pada hari Khamis, 22.3.2012, jam 4.05 pagi. Mengikut laporan, kereta itu terbabas ke sebelah kiri tebing.

Melihat gambar yang tertera, saya dapat bayangkan kelajuan kereta tersebut semasa kemalangan. Lokasi kemalangan juga sangat merbahaya. Selepas Terowong Genting Sempah, kereta akan menuruni bukit dengan sedikit selekoh di hadapannya. Agak bahaya juga di tempat itu.

Pada waktu siang, pemandu yang mengantuk ada juga terbabas di situ. 

Kawasan sekitar Genting Sempah memang popular dengan pelbaga kejadian yang menakutkan. Ada kejadian kereta yang terhumban ke dalam gaung.

Pernah dahulu, seorang peniaga roti dilapurkan hilang bersama vannya. Puas pihak polia dan sanak-saudaranya mencari. Tetapi tak ketemu sampai akhir.

Ditakdirkan tuhan, ada sekumpulan gajah hutan yang mengerumuni satu bangkai yang kelihatan terasing. Pihak Jabatan Hutan merasa cuak dengan kepelikan  tabiat kumpulan gajah hutan ini. Akhirnya, mereka mendapati itu bangkai sebuah van. Bersamanya, ada sekujur mayat manusia yang sudah hancur berbulan-bulan lamanya..   

Itulah mayat si penjual roti yang hilang itu.

Waktu malam juga, banyak kejadian pontianak yang mengilai di tepi jalan. Kadang-kadang mereka bergerak seiringan dengan kereta sambil mereka mengilai di tepi cermin sebelah pemandu.

Mereka mengilai sambil wajah mereka memandang kepada sang pemandu.

Akibatnya, sang pemandu menjadi nanar lalu merempuh tebing. Ada juga yang terjunam ke dalam gaung lalu mati di situ.

Ada juga kejadian seorang gadis yang baru pandai memandu kereta terlihat seorang wanita berambut panjang sedang mengilai di atas pokok di tepi jalan. Segera dia membrek dan menangis di situ.

Masa itu, dia dari Kuantan dan sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lmpur. Masa kejadian lebih kuramg pukul 11.00 malam. Nasib baik ibunya tersedar dan segera menenangkan dia.

DEPA ITU GILA
Perempuan yang berambut panjang & mengilai sakan, sebagaimana yang ternampak oleh gadis di atas, kita panggil pontianak. Kalau dalam hutan, dipanggil kuntilanak. Kalau yang suka terbang macam superman sambil mengilai & tersenggih-senggih macam kerang busuk tu, kita panggil langsuir.

Depa semuanya spesis gila. Sebagaimana ada manusia yang gila (sebagaimana kita lihat di stesen-stesen bas), depa juga (maksudnya, golongan jin) ada juga yang gila. He2.

Pontianak, kuntilanak, langsuir dan sebagainya hanya wujud dalam masyarakat Melayu. Dalam masyarakat Eropah, tak ada pula hantu yang mengilai dan tersenggih-senggih begitu. Maksudnya, hantu mereka sihat dan tak gila.

Kenapa hantu dalam masyarakat Melayu lain pula keadaannya???

NASIHAT SAYA 
Setiap kali nak memandu, elok anda baca Ayatul Kursy terlebih dahulu. Ini bukan suruhan pribadi saya. Tetapi ini adalah perintah junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W. Mari kita ikuti sabda baginda yang bunyinya seperti berikut.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W : "Barangsiapa keluar dari rumahnya dan dibacakan dengannya Ayat Kursi, maka Allah SWT mengirim 70, 000 malaikat yang memintakan ampun serta mendoakan dirinya"..

Secara pribadi, saya sendiri setiap kali nak memandu, selalu membaca ayat mulia ini. Kalau bersama keluarga, saya akan mengarahkan kesemua mereka membacanya. Tidak boleh luput seorang pun kecuali yang uzur. Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak pernah mengalami kemalangan.

Kepada anak-anak pelajar yang berulang-alik ke sekolah, amalkanlah bacaan Ayatul Kursi ini setiap kali nak turun berjalan kaki ke sekolah.

Kalau yang bermotorsikal, maka anda sangat digalakkan.

Kepada pelajar-pelajar saya yang sekarang sudah berada di Kolej atau Universiti, sewajarnya anda semua mempratekkan amalan mulia ini.  Mungkin sebahagian anda sudah mendengar kisah seorang pelajar Malaysia yang terselamat daripada menjadi mangsa rogol & perkosaan di Amerika Syarikat berkat amalan Ayatul Kursi ini.     

Dia selamat kerana dia yakin dengan khasiat Ayatul Kursi ini. Dia membacanya & mengharapkan pertolongan tuhan melaluinya. Dan memang benar, tuhan menolongnya.

SEBUAH CERITA DI SG PENJURING
Seorang rakan guru saya di SMK Lurah Bilut, namanya Cikgu Hasyimah. Asalnya orang Kelantan. Dia menceritakan kepada saya kisah seramnya di Sg Penjuring seperti berikut.

Katanya, dia & suaminya bertolak dari KL sekitar jam 8.00 malam pada sekitar tahun 1999. Selepas menyusuri Lebuhraya Karak-Kl, dia kemudian keluar ikut susur Bentong Barat dan menuju ke Bandar Bentong.

Kemudian mengikut jalan biasa (masa itu, jalan baru Bentong-Raub belum dibina) menuju ke Raub, mengikuti laluan Sg Penjuring, Teras & sebagainya.

Anda tahu di mana letaknya Sg Penjuring itu??? Ia terletak di antara Bentong & Raub.

Sg Penjuring itu sebuah perkampungan Cina, tetapi di kiri kanan jalanya penuh hutan dan gaung. Takut juga kalau memandu di kawasan ini seorang diri pada waktu malam. Berdiri jugalah bulu roma. Meriding banget, kata orang Indo.

KATA CIKGU SYIMAH
Kata Cikgu Syimah, tiba-tiba sahaja suaminya bertanya kepadanya. "Awak tak tercium bau busuk ke?".

Memang dia tercium bau busuk itu, tetapi.....

Tetapi dia tak dapat bercakap. Lidahnya kelu. Dadanya sempit. Dia terasa macam ada seseorang yang memautnya dari belakang. Siapakah yang memautnya?

SIAPAKAH YANG MEMAUTNYA?
Dia terasa ada sepasang tangan yang memaut tubuhnya dari belakang. Tangan itu hitam & berbulu lebat seperti seekor berok besar. Pautan tangan itu sangat kuat sehingga dia tak dapat menyahut panggilan suaminya. Makin lama makin kuat cengkaman itu sehingga dia tidak dapat bernafas sedikit pun.

Cikgu Syimah cuba membaca Ayatul Kursi secara lisan. Namun dia tak dapat. Akhirnya, dia membaca secara isyarat hati sahaja.

Sesudah sahaja dia dapat membaca Ayat mulia itu di dalam hatinya, barulah dia merasa pautan & cengkaman tangan lembaga itu terungkai, semakin lemah & lemah.

Akhirnya, Cikgu Syimah merasa bebas dan dapat bercakap semula dengan suaminya. Dia memberitahu suaminya bahawa bau busuk itu datang dari lembaga hitam yang memautnya dari belakang..

DIRINGKASKAN CERITA
Malam itu, mereka bermalam sahaja di Kuala Lipis dan tak jadi balik ke Kelantan. Mereka tak berani melintasi Bukit Tujuh yang terkenal juga dengan kisah seramnya.

Menurut Cikgu Syimah, pada malam kejadian itu, suaminya  memasang lagu dengan kuat di dalam kereta mereka. Mendengar lagu sambil memandu memang menghiburkan, tetapi merbahaya dari segi spiritual. Maksud saya, ia haram & mengundang kepada kedatangan syaitan & jin.

SUMBER MAGNETIK
Jin dan syaitan amat meminati sesuatu sebagaimana kita juga. Sesuatu itu digelar sebagai sumber magnetik (magnetic source) yang kita sangat dilarang melakukannya. Misalnya, semasa memandu, jangan sesekali memasang lagu. Lagu itu haram & mengundang kedatangan jin & syaitan.

Memasang lagu akan menyebabkan tubuh peminatnya (pendengarnya) mempunyai aura merah. Begitu juga persekitaran dalam kereta tersebut. Aura merah yang terhasil itu mengundang kedatangan jin & syaitan yang juga mempunyai aura merah.

Aura yang baik terdiri daripada samada warna putih atau hijau. Malaikat tidak akan menghampiri individu atau persekitaran  yang beraura merah. Maka langkah terbaik, amalkan membaca Ayatul Kursi semasa memandu. Anda juga digalakkan memasang kaset Al-Quran atau anda sendiri membaca Al-Quran  sepanjang perjalanan anda.

SUMBER MAGNETIK LAINNYA
Selain dari alunan muzik, magnetic source lainnnya yang boleh menarik kedatangan jin & syaitan ialah gambar-gambar yang terbuka aurat (seperti majalah hiburan, majalah porno, gambar artis), tempat-tempat yang bernajis, kawasan hiburan & maksiat (seperti kelab malam, pub, disko) dan sebagainya..

PERJALANAN SEORANG DIRI
Satu masa dahulu, saya pernah balik dari Pulau Pinang seorang diri. Bertolak pukul 5.00 petang. Sampai Terowong Menora yang menakutkan itu sekitar jam 9.00 malam Sampai di Gua Tempurung yang kononnya berhantu itu sekitar jam 11.00 malam Sampai di Ulu Yam, sekitar jam 12.30 pagi.

Kemudian saya meredah jalan ke Genting Highland yang sunyi sepi itu sejauh 30 km seorang diri. Memang saya takut. Tetapi saya pasang kaset Al-Quran saya. Jin & syaitan memang takutkan Surah Al-Baqarah. Saya buka jendela kereta saya supaya alunan Al-Quran itu dapat bergema di seluruh hutan.

MENYUSUR LEBUHRAYA KARAK
Pukul 1.30 pagi, saya turun ke Genting Sempah dan mula menyusur Lebuhraya Karak  Saya baca Ayatul Kursi tak berhenti-henti. Bila saya letih, saya pasang kaset Al-Quran. Alhamdulillah, saya tak diganggu. Tak ada seekor pun pontinanak, kuntilanak, langsuir atau lembaga hutan yang gatal  geledik atau geleyai cuba menganggu saya.

Saya perlahan-lahan sampai ke Bandar Bentong.

Saya kemudian memasuki jalan Bentong ke Felda Lurah Bilut sejauh 22 km. Jalan ini (sebelum siap lebuhraya) adalah sempit dan berhutan di kiri kanan jalan. Masa ini, jam 2.30 pagi. Saya guna pendekatan yang sama. Memang saya takut banget. Tetapi saya mesti berani. Kalau saya takut, tak mungkin saya dapat sampai ke rumah.

3 KAWASAN PERKUBURAN
Sesiapa yang pernah menggunakan jalan lama ini, anda tentu pernah berjumpa dengan 3 kawasan perkuburan. Iaitu tanah perkuburan Islam, Cina & India. Macam-macam kejadian aneh yang berlaku. Tetapi saya beranikan diri. Tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya. Akhirnya, sekitar jam 3.00 pagi, saya sampai ke rumah.

Saya paparkan cerita ini bukan nak tunjuk bahawa saya berani. Saya malu nak mengaku saya berani. Sebabnya, ramai lagi orang yang lebih berani daripada saya.

Kalau pun saya berani, ada 2 sebab sahaja yang mendorong sikap itu kepada saya.

[1] Saya percaya Allah itu ada (wujud). Allah itu tuhan kepada saya & kepada. jin & syaitan yang sentiasa cuba menganggu manusia. DIA juga tuhan kepada Iblis yang masih hidup sampai sekarang. Dia itu bersifat Al-Hayyu (Maha Hidup) & Al-Qayyum (Maha Berdiri Sendiri).

Kenapa saya mesti takut kepada makhlukNya yang sama seperti saya???

[2] Allah memberikan kitab yang mulia, iaitu Al- Quran kepada kita sebagai alat melawan jin & syaitan. Terkandung di dalamnya ayat-ayat pengusir yang boleh membakar mereka. Gunakan sahaja terhadap mereka.

Kalau saya yakin kepada kewujudan dan kekuasaan Allah, kenapa saya mesti ragu-ragu menggunakan ayat-ayatNya yang mulia???

Itulah yang menjadikan saya berani. Anda pun mesti berani.

Takziah kepada keluarga kedua-dua pelajar UNITEM yang meninggal itu. Al-Fatihah juga untuk mereka. Semoga roh mereka ditempatkan di kalangan mereka yang beriman.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh membacanya di fb saya. 


    
         



No comments:

Post a Comment